Golongan bekerja sendiri perlu ada perlindungan dari musibah

  • March 1, 2023
  • 4 min read
Golongan bekerja sendiri perlu ada perlindungan dari musibah

SUNGAI BULOH, SELANGOR – Menteri Sumber Manusia, YB Tuan V.Sivakumar
yang menziarahi Muhammad Hafizi Idris, seorang delivery rider yang masih koma
sejak kemalangan enam bulan lalu, menggesa semua individu bekerja sendiri agar
segera mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS)
demi kebajikan mereka dan keluarga.


YB V.Sivakumar berkata mereka perlu mencontohi Muhammad Hafizi yang
mempunyai kesedaran mencarum untuk melindungi beliau dan keluarga.


Muhammad Hafizi, yang mencari rezeki sebagai rakan penghantar FoodPanda
sepenuh masa, telah mencarum dengan SKSPS menerusi Program Dana Padanan
Caruman Ekonomi Gig Platform (PenjanaGig) yang melindungi beliau dari 18 November 2021 hingga 17 November 2022.


Muhammad Hafizi terlibat dalam kemalangan yang membabitkan motosikal yang
ditunggangnya dengan sebuah kereta di Jalan Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor, pada petang 29 Ogos 2022 sewaktu menghantar pesanan makanan pelanggan.

Beliau telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam untuk rawatan awal sebelum dipindahkan pada hari yang sama ke Wad Neurosurgeri, Hospital Sungai Buloh bagi rawatan lanjut.

Beliau disahkan mengalami pendarahan dalam kepala dan sehingga kini masih berada dalam
keadaan koma.

Muhammad Hafizi, 34, mengalami musibah tersebut selepas 10 bulan berkahwin
dengan isterinya, Norfarahin Jamsari, 25. Sejak kemalangan tersebut, Norfarahin
telah mengambil cuti daripada pekerjaannya di sebuah butik di Tanjung Karang
untuk menjaga suaminya yang terlantar di hospital.


Atas kesedaran Muhammad Hafizi mencarum dengan SKSPS, beliau layak menerima faedah daripada PERKESO serta bantuan lain.

PERKESO telah membayar Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) kepada beliau bermula dari 30 Ogos 2022 sehingga 17 Februari 2023 berdasarkan memo perubatan daripada Hospital Sungai Buloh, memandangkan cuti sakit beliau belum dikeluarkan lagi oleh pihak hospital kerana beliau masih dalam keadaan koma.

Bayaran HUS tersebut diharapkan dapat sedikit sebanyak membantu Norfarahin dalam kelangsungan hidup apabila suaminya terlantar koma.


PERKESO juga telah membekalkan alatan sokongan pemulihan kepada Muhammad
Hafizi seperti Ripple Mattress, lampin pakai buang dewasa dan Yuwell Portable Suction Machine.

Pada hari ini, YB V.Sivakumar telah menyampaikan reclining wheelchair dan tambahan lampin pakai buang dewasa.

Apabila beliau dibenarkan keluar dari hospital, PERKESO akan membekalkannya katil hospital hi-lo.


“Faedah kewangan ini, saya harap dapat membantu isteri beliau menguruskan
perbelanjaan diri dan rumah tangga sejak Hafizi terlantar di hospital.

Selain itu, perlindungan SKSPS juga menyediakan alatan sokongan pemulihan seperti yang disampaikan kepada isteri beliau sebentar tadi,” YB V. Sivakumar berkata.


Menteri Sumber Manusia menziarahi Muhammad Hafizi diiringi oleh Ketua
Eksekutif PERKESO Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohamed, Pengarah Hospital Sungai Buloh Dr. Jasmeet Singh A/L Sucha Singh, Timbalan Pengarah Perubatan Dr. Nik Nor Aniza Nik Mohd Zain, Timbalan Pengarah Pengurusan Encik Mohd Rizal Abdullah dan Ketua Jabatan Neurosurgeri Hospital Sungai Buloh Dr Saiful Azli Mat Nayan.


Turut hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO Encik John Riba Marin, Ketua Pegawai (Komunikasi) En Izad Haji Raya, Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Haji Mohamad Haron Othman, Pengarah PERKESO Negeri Selangor Encik Ismail Abi Hashim dan Pengurus PERKESO Tanjong Karang, Encik Roseman Mohamad Damanhuri.


Hari ini, terdapat kira-kira 2.1 juta individu bekerja sendiri di Malaysia, namun hanya satu pertiga atau 34 peratus daripada mereka dilindungi SKSPS.

Pada tahun 2022, terdapat 713,122 pencarum aktif SKSPS di mana 147,863 daripadanya, atau 20.7 peratus terdiri daripada pekerja dalam sektor gig.


Pada tahun lalu, PERKESO membayar faedah SKSPS berjumlah lebih RM16.53 juta kepada 4,724 orang pencarum.


Untuk memperluaskan lagi perlindungan keselamatan sosial kepada golongan
bekerja sendiri, Kerajaan di bawah Belanjawan 2023, telah memperuntukkan dana
RM100 juta untuk kesinambungan Program Padanan Caruman SKSPS menerusi
PERKESO.


Kali ini, pembiayaan 80 peratus pelan caruman SKSPS dipanjangkan kepada tiga lagi sektor iaitu sukan, pendidikan dan ejen.

Individu bekerja sendiri dalam ketiga-
tiga sektor ini hanya perlu membayar 20 peratus caruman Pelan 2 SKSPS, iaitu
sebanyak RM46.60 untuk perlindungan setahun. Pembiayaan penuh caruman
SKSPS pula diteruskan untuk sukarelawan dalam sektor awam seperti sukarelawan
APM, petugas pemulihan dalam komuniti, Bomba, pekhidmat rumah ibadat dan
RELA, serta pekerja awam berstatus kontrak.


Perlindungan SKSPS bukan sahaja meliputi orang bekerja sendiri tetapi juga menjamin kebajikan orang tanggungan mereka sekiranya berlaku kematian berkaitan bencana pekerjaan sendiri.

Antara faedah di bawah Skim ini termasuk
Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal,
Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat,
Kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional, serta Faedah Pendidikan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang PERKESO www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan PERKESO 1-300-22-
8000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *