GTSM CADANG PERKASAKAN SURUHANJAYA ATAU AGENSI SEDIA ADA UNTUK KAWAL SELIA GIG EKONOMI.
Assalammualaikum & Salam Malaysia MADANI.
Terlebih dahulu saya ingin menzahirkan pendirian saya bahawa saya adalah salah seorang rakyat Malaysia yang juga Pemimpin Pertubuhan NGO (GTSM) yang menyokong kerajaan khusus kerajaan MADANI yang di pimpinan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Kami yakin cadangan Presiden UMNO YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGM) adalah satu usaha yang murni untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku di dalam industri, bahkan yang lebih penting adalah untuk menjaga kebajikan rakyat yang terlibat di dalam industri tersebut.
Namun kami berpendapat, penubuhan SEGM itu adalah satu pembaziran dan akan hanya mewujudkan lagi pertindihan kuasa seperti yang berlaku ketika kewujudan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Kami dari sektor Teksi, Lori, Bas dan EHailing tidak mungkin boleh melupakan apa yang pernah kami lalui ketika kewujudan SPAD. Pertindihan kuasa dan sikap angkuh mereka benar-benar memberi impak buruk kepada kami.
Selain itu, jika hendak dibandingkan, kami yakin Industri GIG tidak lah sebesar Industri Pengangkutan Awam Darat yang merangkumi perkhidmatan Teksi, EHailing, Lori, Bas, dan Train.
Oleh itu, kami mencadangkan supaya kerajaan memperkasakan Suruhanjaya atau Agensi sedia ada untuk mengawal selia industri GIG daripada mewujudkan satu lagi agensi penguatkuasaan.
KAMARUDIN HUSSAIN
YDP Gabungan Teksi Malaysia