Hasrat bantu ibubapa ke umrah tidak kesampaian, mangsa terlibat dalam kemalangan

  • June 22, 2022
  • 2 min read
Hasrat bantu ibubapa ke umrah tidak kesampaian, mangsa terlibat dalam kemalangan

HULU SELANGOR: “Sempat lagi ni.. Ada rezeki mak…” Masih terngiang-ngiang ucapan yang terucap oleh arwah anaknya, Mohamad Hazeem Haiqal, salah seorang mangsa kemalangan motosikal dan kereta yang meragut dua nyawa di Kilometer 75 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Taman Keliang, Kalumpang pada 18 Jun lalu.

“Arwah sebelum ini ada menyatakan hasrat untuk membantu mengumpulkan perbelanjaan kami ke umrah pada bulan Oktober ini, dia bekerja ini pun adalah salah satu sebab untuk perbelanjaan kami disana nanti.

“Pada mulanya, abang arwah sendiri yang menyedari tentang kemalangan tersebut kerana melalui kawasan kejadian melalui pengecaman motor.

“Namun tidak berpuas hati, sama ada adik nya adalah mangsa kemalangan tersebut, bergegas ke tempat kejadian dan mendapati bahawa mangsa tersebut adalah adiknya yang sudah tidak bernyawa.

“Azam dia terlalu besar kerana dia mahu membawa ibunya menunaikan umrah Oktober ini. Bagaimanapun, Allah SWT lebih menyayanginya,” kata Shuhaimi Ramli, 71 dan Rosniwati Ahmad, 58 merupakan ibu dan bapa kepada arwah.

Mangsa nahas tersebut, Muhammad Luqman Hakim Roslan dan Muhamad Hazeem Haikal, yang kedua-duanya berumur 18 tahun.

Kejadian kemalangan tersebut berlaku ketika dalam perjalanan untuk bekerja di Proton City, Tanjung Malim apabila motosikal Yamaha Y15 dinaiki mereka bertembung kereta Volvo dipandu lelaki berusia 29 tahun.

Ibu mangsa Norwati Cha, 47 dan bapa Roslan Hassan, 55 berkata mereka redha atas pemergian Allahyarham Muhammad Luqman Hakim Roslan.

“Mulanya saya nampak ada satu jenazah bertutup kain putih, tetapi tidak singgah selain tak terdetik mengatakan itu mungkin anak sendiri.

“Saya nampak motosikal tetapi tak nampak nombor pendaftarannya. Langsung tak terlintas sebab anak sudah pergi ke tempat kerja,” kata Norwati Cha, 47.

Kedua-dua keluarga mangsa nahas kemalangan tersebut telah menerima bantuan pemberian Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang membuat lawatan prihatin di kediaman di Taman Rajawali, Kalumpang, di sini, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *