Ikut contoh negara luar dalam pembangunan luar bandar – Mahdzir
KUALA LUMPUR: Para penjawat awam dan usahawan luar bandar boleh menjadikan kejayaan transformasi luar bandar oleh negara luar sebagai inspirasi memajukan sektor luar bandar di negara ini, demikian menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Jelas beliau, kejayaan luar bandar oleh negara luar seperti pembangunan kereta berkuasa tinggi, Ferrari di Maranello, sebuah perkampungan di Itali, konsep ‘One Product One Village’ di Oita, Jepun dan transformasi ekonomi negara oleh Presiden Korea Selatan wajar dijadikan tauladan.
Tambahnya lagi, contoh tersebut dapat dijadikan inspirasi di dalam servis dan perkhidmatan sama ada ianya melibatkan kerajaan, agensi kerajaan ataupun sektor swasta.
Selain itu, beliau berkata Program Transformasi 2.0, adaptasi teknologi terkini dan eksplorasi sumber perolehan lain amat penting bagi pembangunan luar bandar. Oleh yang demikian, adalah menjadi keperluan bagi sektor luar bandar mempersiapkan diri bagi menghadapi revolusi Industri 4.0 dan penggunaan sistem digitalisasi agar seiring zaman. -UTVMediaMsia