Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
hari ini menganjurkan Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia
bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota
Kinabalu. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri
Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.

Program ini merupakan antara strategi di bawah inisiatif Kita Beli
Barangan Malaysia (KBBM). Objektif utama penganjuran program ini
adalah sebagai platform pemasaran dan promosi yang menghimpunkan
pelbagai pemain industri tempatan sekali gus menjadi pemangkin
pengukuhan permintaan dan kebolehpasaran barangan Malaysia. Ia
merangkumi pelbagai segmen termasuk makanan dan minuman (F&B),
gaya hidup, kecantikan, fesyen, kraf tangan dan perkhidmatan daripada
usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sehingga
jenama premium tempatan.

Pengisian program melibatkan pelbagai reruai jualan oleh usahawan
tempatan, pameran dan kaunter perkhidmatan oleh agensi-agensi
kerajaan dan rakan strategik KPDN serta Program Jualan RAHMAH
MADANI (PJRM). Selain itu, satu sesi forum dan bicara keusahawanan
telah dilaksanakan bersama Persatuan Inspirasi Wanita Sabah yang
melibatkan seramai 500 peserta. Penganjuran Inspirasi Beli Barangan
Malaysia di Kota Kinabalu ini merupakan siri pertama daripada lima siri
yang akan dianjurkan bagi tahun 2026.
Pendaftaran SKDS bagi Kenderaan Pengangkutan Darat Barangan
di Sabah, Sarawak Dan Wilayah Persekutuan Labuan
Pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel bagi sektor
pengangkutan darat barangan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi
(SKDS) akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan
(WP) Labuan. Fasa awal peluasan ini melibatkan permohonan
pendaftaran menyertai SKDS bagi syarikat-syarikat sektor pengangkutan
darat barangan di ketiga-tiga wilayah bermula 4 Mei 2026 lalu.
Permohonan untuk mendapatkan manfaat subsidi diesel bagi sektor
pengangkutan ini boleh dibuat melalui portal MySubsidi di pautan
mysubsidi.kpdn.gov.my.
Di bawah pelaksanaan SKDS semasa, 23 kategori kenderaan
pengangkutan darat barangan layak menikmati harga subsidi diesel.
Kadar harga subsidi semasa bagi SKDS sektor pengangkutan darat
barangan ialah RM2.15 seliter.
Tindakan Tegas Terhadap Penyalahgunaan Fleet Card SKDS dan
SKPS
Pada masa yang sama, Kerajaan juga akan terus memperkukuh aspek
kawalan dan penguatkuasaan bagi mekanisme penggunaan fleet card
dalam penyaluran subsidi bahan api melalui Skim Kawalan Diesel
Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Ini termasuk memperkukuh kerangka perundangan berkaitan kawal selia
barang kawalan bersubsidi. KPDN sedang merangka cadangan
penggubalan peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961
bagi mewujudkan suatu kerangka perundangan yang lebih jelas,
menyeluruh dan teratur bagi pelaksanaan, pengawalseliaan serta
penguatkuasaan penggunaan fleet card. Antara lain peraturan ini akan
melibatkan aspek tanggungjawab pemegang fleet card dan syarikat
minyak serta kesalahan dan hukuman bagi sebarang bentuk
penyalahgunaan subsidi.



