Jalin Kerjasama Membekalkan Penyelesaian Pintar Berteraskan Teknologi Awan

  • July 29, 2022
  • 2 min read
Jalin Kerjasama Membekalkan Penyelesaian Pintar Berteraskan Teknologi Awan

Satu perkongsian strategik yang menjadi pemangkin inovasi dalam memacu perjalanan transformasi digital berteraskan teknologi awan untuk perniagaan-perniagaan di Malaysia

Kuala Lumpur, 25 Julai 2022 – Exabytes, penyedia perkhidmatan lengkap Teknologi Digital, e-Dagang dan Perniagaan Berasaskan Awan meluaskan keupayaannya dengan menjalinkan kerjasama bersama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) menerusi penawaran sistem infrastruktur, platform dan perisian berasaskan awan sebagai satu bentuk perkhidmatan (infrastructure-platform-and-software-as-a-service (IaaS, PaaS and SaaS)) bagi merangsang transformasi digital perniagaan dalam era pascapandemik.

Sejajar dengan matlamat Exabytes untuk merancakkan perkembangan teknologi transformasi digital berasaskan awan, kerjasama ini akan turut memberikan pelanggan-pelanggannya akses kepada aplikasi-aplikasi perniagaan seperti Smart Building, Smart City, Smart Traffic, Smart Agriculture, Smart Healthcare, Smart Logistic dan teknologi-teknologi pintar lain yang dikuasakan oleh pembelajaran mesin (ML), kecerdasan buatan (AI) dan Internet Segala Benda (IoT).

“Infrastruktur berasaskan awan semata-mata tidak akan mampu untuk memacu perkembangan perniagaan. Ia perlu disokong oleh pelbagai aplikasi perniagaan bagi mencapai hasil-hasil perniagaan yang diingini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Exabytes, Chan Kee Siak.

Naib Presiden Eksekutif & Ketua Perusahaan Perniagaan Exabytes, Eric Foo percaya bahawa, “Jalinan kerjasama dengan Huawei Malaysia untuk menggunakan platform berasaskan awan serta ekosistem teknologi rakan kongsinya akan menjadi pemangkin bagi memacu perjalanan transformasi digital berasaskan awan untuk perniagaan-perniagaan di Malaysia dan negara-negara lain. Kami bercita-cita untuk memanfaatkan keupayaan teknologi digital bagi mendapatkan kelebihan persaingan yang lebih baik di samping nilai-nilai perniagaan lain buat pelanggan-pelanggan kami.”

“Sokongan daripada platform berasaskan awan Huawei dan ekosistem rakan kongsi kami akan menjadi pemacu inovasi apabila kedua-duanya dipadankan dengan teknologi pintar berasaskan awan Exabytes selaku penyedia perkhidmatan lengkap Teknologi Digital, e-Dagang dan Perniagaan Berasaskan Awan,” kata Chan lagi.

Perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan-perniagaan besar kini semakin menekankan kepentingan untuk menyerlahkan kehadiran dalam talian mereka bagi memastikan mereka kekal berdaya saing. Dengan strategi berasaskan awan, perniagaan-perniagaan boleh memanfaatkan kelebihan penggunaan platform berasaskan awan seperti tahap respons yang lebih baik, keupayaan untuk meluaskan perniagaan, aspek keselamatan serta kepantasan dalam aspek penyertaan dalam pasaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *