Jelajah Ramadan 2026 Perkukuh Perpaduan, Santuni Rakyat Seluruh Negara

JOHOR BAHRU, 16 Februari 2026 – Program ikonik Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jelajah Ramadan 2026, kembali mewarnai bulan suci tahun ini dengan misi menyatukan masyarakat serta menyebarkan nilai kebajikan menerusi pendekatan yang lebih inklusif dan berimpak.


Program edisi ke-14 ini telah dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin, sekali gus menandakan bermulanya jelajah berskala nasional yang merentasi seluruh pelosok negara.

Bakal berlangsung selama 20 hari bermula 16 Februari hingga 8 Mac 2026, program ini melibatkan 15 kenderaan, hampir 40 kru, termasuk jurubahasa isyarat serta selebriti jemputan. Jelajah ini akan singgah di 30 lokasi utama merangkumi zon utara, selatan, tengah, timur serta negeri Sabah dan Sarawak.

Mengangkat tema “Satu Suara, Satu Jiwa”, Jelajah Ramadan 2026 melambangkan penyatuan peranan 34 stesen radio RTM dalam menyampaikan aspirasi rakyat, menyebarkan mesej kebaikan dan memperkukuh hubungan antara RTM dengan komuniti, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai Ihsan, Kesejahteraan dan Kemampanan.
Menurut RTM, program ini bukan sekadar acara jelajah, malah menjadi platform pemerkasaan masyarakat yang menyentuh aspek kebajikan, pendidikan serta kesejahteraan sosial.


Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, Jelajah Ramadan mencatat sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) terpanjang di Malaysia, dengan rekod pelaksanaan 38 aktiviti di seluruh negara.
Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan RTM dalam menjayakan inisiatif kemasyarakatan yang memberi impak besar kepada rakyat pelbagai lapisan.


Program tahun ini turut mendapat sokongan kukuh sektor korporat dengan BABA’s sebagai penaja utama, diikuti Jabatan ATOM Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), TVET Malaysia, PETRON, Hotel Seri Malaysia, Raja Perfume, Himalaya dan QSR Brands.
Selain itu, Nestlé, NESQ, AEON, Bertam Resort dan TikTok turut tampil sebagai rakan strategik bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan berkesan.


Turut hadir memeriahkan majlis pelancaran ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah serta Ketua Pengarah Penyiaran, YBhg. Datuk Suhaimi Sulaiman.


Dengan semangat kebersamaan dan mesej kasih sayang, Jelajah Ramadan 2026 dijangka terus menjadi jambatan antara media dan masyarakat, sekali gus memperkukuh perpaduan nasional di bulan yang penuh keberkatan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *