KARNIVAL TEKUN DI KADAMAIAN SQUARE JANA JUALAN USAHAWAN RM152,000

KOTA KINABALU, 18 Mei – Karnival TEKUN MADANI yang diadakan selama tiga hari
di Kadamaian Square, Kota Belud berjaya mencatatkan jumlah jualan melebihi
RM152,000, sekali gus membuktikan keberkesanan program dalam merancakkan
aktiviti ekonomi usahawan tempatan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata,
karnival yang berlangsung dari 15 hingga 17 Mei itu berjaya menarik penyertaan
pelbagai pihak termasuk 48 gerai TEKUN, 94 gerai persatuan, Jualan MADANI
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Pasar Tamu serta penyertaan usahawan
menerusi platform digital TikTok Shop.
“Jumlah jualan keseluruhan sepanjang tiga hari karnival ini mencecah lebih
RM152,000, iaitu lebih RM34,000 pada hari pertama, RM47,088.30 pada hari kedua
dan RM71,037.05 pada hari ketiga,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Ewon berkata, penglibatan TikTok Shop sebagai rakan strategik TEKUN Nasional
merupakan pemangkin kepada kejayaan penganjuran karnival ini khususnya dalam
membantu usahawan mikro menembusi pasaran digital.
“Saya gembira kerana Karnival TEKUN MADANI di Kota Belud ini dapat membuka
banyak peluang perniagaan kepada usahawan tempatan selain menyaksikan
peningkatan keupayaan mereka dalam penggunaan platform digital untuk pemasaran,” katanya.