Senario Kembali Gegarkan Panggung Bangsawan Melaka pada 28 Jun 2025!

  • May 19, 2025
  • 2 min read
Senario Kembali Gegarkan Panggung Bangsawan Melaka pada 28 Jun 2025!

MELAKA, 18 MEI 2025 – Satu lagi detik bersejarah bakal tercipta apabila kumpulan lawak legenda, Senario, bakal kembali ke pentas menerusi sebuah persembahan eksklusif pementasan teater Muzikal Lawak Bangsawan “Mimpi Tuanku”.

Majlis pelancaran rasmi dan sidang media telah berlangsung dengan penuh meriah di Hotel Grand Swiss- Belhotel, Melaka dan mendapat sambutan luar biasa daripada para penggiat seni serta peminat setia Senario. Tetamu kehormat yang hadir merasmikan YB Datuk Khaidhirah bt Datuk Seri Abu Zahar. Timbalan EXCO Pelaburan Perindustrian dan Pembangunan TVET.

Ucapan Perasmian
Antara babak yang membuatkan penonton terhibur

Acara ini merupakan kerjasama YASSTAR EMPIRE, Senario dan Panggung Bangsawan Melaka, selepas kejayaan reunion julung kali mereka tahun lalu yang mengembalikan nostalgia dan mencetuskan fenomena tersendiri.

“Selepas lebih sedekad tidak muncul di pentas besar, kita bawakan semula Senario dalam sebuah persembahan yang bukan sekadar lawak biasa – tetapi diperkayakan dengan elemen teater bangsawan, komedi dan budaya,” kata wakil penganjur dalam ucapannya.

28 Jun 2025 – Satu Malam, Satu Pementasan Sahaja!

Bakal berlangsung di Panggung Bangsawan, Melaka dan persembahan ini dijadualkan hanya satu malam sahaja. Ia dijangka menjadi tumpuan utama kalendar seni negeri Melaka dan menarik peminat dari seluruh negara.

Melaka, yang dikenali sebagai kota bersejarah dan kaya dengan acara budaya, kini sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkasakan seni dan warisan tempatan. Kerajaan negeri melihat Panggung Bangsawan sebagai platform penting bagi menghimpunkan pelbagai genre seni di bawah satu bumbung – dari seni pentas, seni halus, hingga ke persembahan muzik dan tari.

lan Pet Pet bergurau mesra bersama media

“Kami tak mahu seni hanya jadi pengisi majlis. Kami nak seni diangkat sebagai medium yang menyatukan masyarakat dan sebagai ekspresi identiti yang bernilai tinggi,” – YB Datuk Khaidhirah.

Pengisian Sepanjang Tahun: Dari Lawak ke Budaya Dunia

Selain Senario, Panggung Bangsawan Melaka akan terus dihidupkan dengan pelbagai program sepanjang tahun. Antaranya termasuk:

  • Persembahan kebudayaan pelbagai kaum
  • Konsert mini
  • Program bahasa Jepun dan antarabangsa
  • Persembahan khas sempena World Tourism Day pada bulan September, dengan kehadiran delegasi dari lebih 120 negara

Inisiatif ini turut membuka ruang kepada bakat-bakat tempatan untuk tampil dan menonjolkan karya mereka, menjadikan Panggung Bangsawan bukan sahaja lokasi persembahan, tetapi juga medan pencungkil bakat.

“Kita mahu jadikan Melaka sebagai destinasi seni dan budaya yang progresif, bukan hanya untuk pelancong luar tetapi juga sebagai rumah kepada pengkarya tempatan,” tambahnya.

Dengan semangat memartabatkan seni dan budaya dalam suasana yang segar, inklusif dan berkualiti, persembahan Bangsawan: “Mimpi Tuanku” dijangka menjadi acara wajib tonton tahun ini.

Tempah tiket anda sekarang dan saksikan kehebatan Senario dalam dimensi baru!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *