KD SIASAT DAKWAAN KEBOCORAN DATA MELIBATKAN MAYBANK, ASTRO DAN SPR

  • December 30, 2022
  • 2 min read
KD SIASAT DAKWAAN KEBOCORAN DATA MELIBATKAN MAYBANK, ASTRO DAN SPR


30 DECEMBER 2022 – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memandang serius dakwaan kebocoran
data yang dibuat sebuah laman sesawang pada 25 Disember 2022 yang lalu.
Kebocoran data ini didakwa melibatkan pihak Maybank, Astro dan Suruhanjaya
Pilihan Raya Malaysia (SPR).
KKD melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dengan kerjasama
CyberSecurity Malaysia (CSM) sedang mendapatkan maklum balas daripada
Maybank dan Astro berhubung dakwaan kebocoran data bagi memastikan kesahihan
pemilikan data.
Pada masa yang sama, siasatan awal ke atas maklumat nombor akaun Maybank yang
dipaparkan dalam laman sesawang berkenaan mendapati bahawa akaun-akaun
berkenaan adalah tidak sah atau tidak wujud kerana transaksi tidak boleh dilakukan
melalui nombor akaun tersebut. Siasatan awal juga mendapati terdapat potensi data
yang didakwa bocor adalah merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku
pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan
adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data
Peribadi 2010 [Akta 709].
Manakala siasatan mengenai kebocoran data SPR dalam laman sesawang
berkenaan akan diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA)
untuk tindakan selanjutnya memandangkan ia adalah di luar bidang kuasa Akta 709.
Notis sekatan juga telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan menghalang orang awam mengakses laman
sesawang tersebut.
Saya ingin mengingatkan semua Pengguna Data agar sentiasa memastikan tahap
keselamatan siber berada pada paras yang baik dan sentiasa mematuhi prinsip dan
standard perlindungan data peribadi selaras dengan Akta 709.


FAHMI FADZIL
MENTERI KOMUNIKASI DAN DIGITAL

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *