Kempen Internet Selamat Guna Pendekatan Rakan Sebaya, Sasar Tingkat Kesedaran Siber Belia

PAGOH, 20 April 2026 – Kerajaan mempergiat usaha meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan belia menerusi pendekatan rakan sebaya melalui penganjuran Kempen Internet Selamat di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP), Johor.


Kempen yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil itu merupakan inisiatif berterusan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memperkasa golongan muda menghadapi cabaran dunia digital.


Seramai 80 pelajar bersama 20 fasilitator Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) daripada beberapa institusi pengajian tinggi sekitar Pagoh terlibat dalam program tersebut. Antaranya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN).


Peserta akan berperanan sebagai ejen penyampai mesej keselamatan siber kepada rakan sebaya, sekali gus memperluas impak kempen di peringkat komuniti kampus.
Kempen ini memberi penekanan terhadap isu keselamatan dalam talian termasuk penipuan digital, buli siber, penyebaran maklumat palsu serta risiko perkongsian data peribadi secara berlebihan.
Antara pengisian utama ialah sesi interaktif yang dikendalikan fasilitator MPP, termasuk modul bertajuk “Ops Kantoikan Scammer: Aku Bukan Mangsa Kau!” yang memberi pendedahan praktikal mengenai taktik penipuan dalam talian serta langkah pencegahan.


Pendekatan rakan sebaya dilihat lebih efektif dalam menyampaikan mesej keselamatan siber kerana lebih dekat dengan kumpulan sasaran, sekali gus meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan belia.
Sehingga 31 Mac 2026, sebanyak 47 program Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di institusi pengajian tinggi di seluruh negara dengan penyertaan seramai 23,196 mahasiswa.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *