MCMC Uji Liputan 4G & 5G Sepanjang Laluan ETS KL Sentral–Segamat, Kenal Pasti ‘Blind Spot’ Rangkaian

SEGAMAT, 19 April 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan ujian kelajuan serta kualiti liputan 4G dan 5G sepanjang laluan Kereta Api Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Segamat bagi menilai prestasi rangkaian secara masa nyata.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ujian tersebut dilaksanakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi utama termasuk CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications dan Digital Nasional Berhad.
Menurut beliau, inisiatif ini bertujuan memastikan liputan komunikasi bukan sahaja tertumpu di kawasan berpenduduk, tetapi turut stabil di sepanjang laluan pengangkutan awam utama negara.


“Kerajaan MADANI komited memastikan rakyat menikmati akses Internet berkualiti tinggi secara menyeluruh, termasuk ketika dalam perjalanan menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Ujian melibatkan beberapa negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, dengan pelbagai parameter teknikal diukur termasuk kelajuan muat turun dan muat naik, kestabilan sambungan serta kesinambungan liputan tanpa gangguan.


Setakat ini, sebanyak 71 peratus kawasan liputan telah dilengkapi dengan perkhidmatan 5G, dan usaha peluasan rangkaian itu akan diteruskan secara berperingkat.
Bagaimanapun, MCMC mengenal pasti beberapa kawasan luar bandar dan jajaran tertentu, khususnya di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor utara, masih mengalami penurunan kualiti liputan dan kelajuan rangkaian, yang memerlukan tindakan penambahbaikan oleh penyedia perkhidmatan.


Hasil ujian ini akan dianalisis secara terperinci bagi mengenal pasti jurang liputan serta merangka tindakan susulan bersama pihak industri.
Dalam tempoh 1 Januari hingga 15 April 2026, sebanyak 2,350 audit telah dijalankan dengan 280 notis pematuhan dikeluarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) terhadap penyedia perkhidmatan yang gagal memenuhi standard kualiti.


MCMC turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh pemantauan dan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan infrastruktur komunikasi negara kekal mampan, berdaya tahan dan memenuhi keperluan rakyat.


Orang ramai juga digalakkan menggunakan aplikasi MCMC NEXUS bagi menguji kelajuan Internet serta menyumbang data prestasi rangkaian di lokasi masing-masing tanpa melibatkan pengumpulan maklumat peribadi.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *