“Jangan jadikan auta sebagai fakta & tanam persepsi buruk”Ketua DAPSY YB Woo Sekolahkan ADUN-ADUN PN Perak

Perbahasan isu kos sara hidup di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menyaksikan Ketua DAPSY Kebangsaan merangkap ADUN Pasir Bedamar, YB Woo Kah Leong, tampil menyekolahkan barisan pembangkang Perikatan Nasional (PN) apabila membidas kelemahan hujah serta kecenderungan mereka memainkan persepsi tanpa asas fakta yang kukuh.

Dalam ucapannya, YB Woo Kah Leong menegaskan bahawa sepanjang beberapa hari perbahasan, kebanyakan wakil pembangkang dilihat hanya berulang kali membangkitkan isu tanpa mengemukakan cadangan penyelesaian yang konkrit.
“Hebat bercerita masalah, namun jarang mendengar cadangan penambahbaikan,” katanya, sambil menyifatkan pendekatan tersebut sebagai tidak membantu rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Mengulas isu kawalan harga, YB Woo Kah Leong memberi jaminan bahawa penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjalan secara aktif setiap hari di peringkat akar umbi, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Beliau turut menegaskan bahawa dasar bekerja dari rumah tidak melibatkan anggota penguatkuasa, sekali gus memastikan pemantauan harga terus dilaksanakan tanpa gangguan.

“Tiada kompromi terhadap peniaga yang menaikkan harga tanpa alasan munasabah,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan belanjawan tambahan yang disarankan oleh Ahli Dewan Negeri Kepayang, YB Nga Kor Ming bagi menangani tekanan kos sara hidup, termasuk penambahan sementara bantuan BUDI Diesel sebanyak RM100 kepada penerima di Perak, menjadikan jumlah keseluruhan lebih tinggi daripada kadar semasa RM400, selain pemurnian bantuan kini yang disediakan kerajaan negeri serta peluasan pelaksanaan Jualan Rahmah. Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan golongan B40 terus dilindungi tanpa mengabaikan kelangsungan peniaga kecil yang majoritinya terdiri daripada kumpulan M40.

Namun, tumpuan utama perbahasan tertumpu kepada isu kenaikan harga diesel yang menurut beliau sering dimanipulasi oleh pembangkang melalui perbandingan tidak setara dan tafsiran data yang mengelirukan.

Beliau menyifatkan tindakan membandingkan harga minyak tahun 2008 dengan situasi semasa sebagai dangkal kerana gagal mengambil kira perubahan besar dalam landskap global termasuk konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan mendadak kos logistik dan insurans. Dalam konteks semasa, gangguan laluan strategik antarabangsa turut memberi kesan langsung kepada bekalan minyak global, sekali gus menekan harga di pasaran.

Dengan menggunakan data rasmi yang disediakan Kementerian Kewangan, YB Woo Kah Leong turut mendedahkan bahawa kini kos penghantaran minyak telah meningkat daripada sekitar RM7.5 juta kepada RM20.5 juta bagi setiap perjalanan, manakala premium insurans melonjak daripada sekitar USD112,500 kepada USD1.9 juta, yang menjadi antara faktor utama kenaikan harga bahan api. Pada masa yang sama, harga minyak mentah Brent juga meningkat daripada sekitar USD66 setong kepada lebih USD100 setong, menambahkan lagi tekanan kos secara keseluruhan.

Beliau menjelaskan bahawa harga bahan api tidak ditentukan oleh minyak mentah semata-mata, sebaliknya dipengaruhi oleh keseluruhan rantaian bekalan termasuk kos pemprosesan, penghantaran dan perlindungan insurans. Malaysia juga, menurut beliau, bukan lagi pengeksport bersih bahan api, sebaliknya bergantung kepada import selepas mengambil kira keperluan pemprosesan, sekali gus menjadikan negara terdedah kepada turun naik pasaran global.

Gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz yang dibuka dan ditutup berulang kali turut menjejaskan jumlah kapal tangki minyak yang berjaya melalui laluan tersebut, sekali gus mengurangkan bekalan dan meningkatkan kos operasi global.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pembangkang gagal menyebut pelbagai bentuk subsidi bersasar yang masih dinikmati rakyat. Ini termasuk SKDS 2.0 yang menawarkan harga diesel sekitar RM2.15 untuk pelbagai kenderaan, SKDS 1.0 sekitar RM1.88 bagi perkhidmatan awam seperti bas sekolah dan ambulans, subsidi nelayan sekitar RM1.65, serta bantuan BUDI Diesel yang kini meningkat kepada RM400 sebulan dan BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM300.

“Bandinglah antara harga diesel subsidi RM2 pada tahun 2008 dengan harga diesel subsidi pada masa ini seperti RM1.65, RM1.88 dan RM2.15, bukannya petik sini sana,” katanya sambil menegaskan bahawa perbandingan mestilah dibuat secara setara.

Woo Kah Leong turut menolak perbandingan dengan negara lain yang disifatkan tidak mengambil kira realiti sebenar. Beliau menjelaskan bahawa Arab Saudi menghasilkan kira-kira 10.5 juta tong minyak sehari berbanding Malaysia sekitar 500,000 tong. Malaysia kini merupakan pengimport bersih bahan api, bukan pengeksport bersih.

“Malaysia hanyalah pengimport bersih, bukan lagi pengeksport bersih,” jelasnya.

Selain itu, Indonesia mampu mengekalkan harga rendah kerana menggunakan pendekatan subsidi menyeluruh yang membebankan kewangan negara, berbeza dengan Malaysia yang melaksanakan subsidi bersasar. Singapura pula tidak menyediakan subsidi bahan api, manakala Australia kelihatan stabil kerana telah mengurangkan cukai minyak (fuel excise) sehingga separuh. Thailand pula berdepan kekurangan bekalan sehingga terpaksa mengehadkan operasi stesen minyak.

“Don’t compare a durian with an apple,” katanya, merujuk kepada kecenderungan pembangkang membuat perbandingan tidak setara.

Dalam nada tegas, beliau turut menempelak sikap tidak konsisten sesetengah pemimpin pembangkang, khususnya apabila kenyataan lama yang mengakui kenaikan harga sebagai fenomena berterusan kini berubah apabila berada di blok berbeza.

YB Woo Kah Leong membacakan semula rekod Hansard bagi menunjukkan betapa hipokritnya pembangkang khususnya Ketua Pembangkang Ahli Dewan Negeri Gunung Semanggol.

Dalam petikan bertarikh 16 Disember 2021, dinyatakan: “Isu kenaikan harga ini, selagi mana kita hidup, selagi tu takkan selesai. Itu kita kena terima fact ni. Kita kena terima, kalau kita tak terima fact tu, kita boleh main. Kita memainkan isu kangkong naik 200%.” Namun pada 15 April 2026, individu sama dilaporkan berkata, “pada hemat saya, pengumuman kenaikan harga minyak dalam tempoh perayaan seperti ini amatlah tidak wajar”.

Mengulas isu Petronas, YB Woo Kah Leong mengingatkan bahawa keuntungan syarikat tersebut tidak boleh dilihat secara sempit kerana perlu menampung pelbagai komitmen termasuk cukai, kos operasi, hutang serta pelaburan masa depan, dan tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan kelangsungan jangka panjang.

“Saya guna contoh pengoperasian kedai runcit, sekiranya kurang bisnes untuk seminggu, adakah anda akan menggunakan habis seluruh wang simpanan? Sekiranya berbuat demikian, apakah cara untuk membayar gaji kepada pekerja? Apakah cara untuk membeli stok baru? Sekiranya wang simpanan telah digunakan habis, macam mana anda menjaga anak di rumah?” ujar beliau, sambil membidas PN adalah tidak bertanggungjawab lantaran tindakan mereka yang ingin memakan masa depan.

Beliau turut menegaskan bahawa harga RON95 di Malaysia kekal rendah sekitar RM1.99 dan antara yang terendah di dunia, mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga global.

Secara keseluruhan, perbahasan tersebut memperlihatkan jurang ketara antara pendekatan berasaskan fakta dan cadangan yang diutarakan Ketua DAPSY Kebangsaan dengan pendekatan populis yang longgar dari segi analisis yang digunakan wakil rakyat PN.

Sekiranya pembangkang terus bergantung kepada retorik tanpa penyelesaian, mereka berisiko dilihat semakin gagal memainkan peranan sebagai penyemak imbang yang berkesan dalam dewan.

“Ada sebabnya negeri-negeri SG 4 digelar sebagai ‘SANGAT GAGAL’, dan ini memang adalah pembangkang yang paling tidak berguna dan berfungsi dalam sejarah.”

(Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna & Kampung Baru Cina Perak merangkap Ketua DAPSY Kebangsaan, YB Woo Kah Leong pada 20 April 2026)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *