KERJASAMA KOPASAR DAN MEEN TECH BAKAL PACU EKONOMI KOPERASI DALAM SEKTOR TELEKOMUNIKASI

  • August 11, 2023
  • 2 min read
KERJASAMA KOPASAR DAN MEEN TECH BAKAL PACU EKONOMI KOPERASI DALAM SEKTOR TELEKOMUNIKASI

Gerakan koperasi berupaya memacu ekonomi melalui sektor telekomunikasi menerusi kerjasama dengan syarikat telekomunikasi terkemuka negara.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Koperasi Pasaraya Malaysia Berhad (Kopasar) dengan Meen Tech Network Sdn. Bhd. (Meen Tech) telah berlangsung di W Hotel, Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2023 (Selasa).

Kerjasama kedua-dua pihak tersebut memberi peluang kepada Kopasar untuk mengedarkan produk syarikat berkenaan kepada koperasi seluruh negara sehingga ke peringkat antarabangsa.

Majlis menandatangani MoU itu telah diwakili Pengerusi Kopasar, Haji M. Nasir Ramli manakala Meen Tech pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Yuen Mun Kwun yang disaksikan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Dalam majlis sama, Meen Tech yang merupakan syarikat fintech terkemuka Malaysia turut merasmikan telefon pintar terbaharu dan terunggul mereka iaitu Meen M60.

Menurut Encik Yuen Mun Kwun, menerusi pengalaman selama berdekad dalam pemasangan telefon mudah alih, Meen Tech kini melangkah ke hadapan dalam inovasi penciptaan siri telefon pintar terkini dan eksklusif di Malaysia.

“Pengenalan telefon pintar Meen M60 dalam industri teknologi telefon mudah alih adalah permulaan baharu buat negara ini, sekali gus membuktikan Malaysia telah berkembang maju dalam bidang teknologi berasaskan inovasi,” katanya.

Bendahari Kopasar merangkap Pengarah Projek, Dato’ Mohd Shafiee Idris ketika ditemui wakil PELANCAR menyatakan, kerjasama tersebut memberi peluang kepada koperasi untuk menambahkan pendapatan melalui konsep insentif dan komisen.

“Setiap satu telefon pintar jenama Meen M60 yang dijual bakal mendapat komisen purata antara RM500 hingga RM900 sebulan.

Konsep ini berbeza dengan Multilevel Marketing (MLM) kerana komisen yang diterima peniaga adalah secara terus daripada syarikat Meen Tech yang melabur sebanyak RM300 juta untuk tujuan pemasaran,” ujarnya.

Meen M60 dijual pada harga RM3,499 dan boleh dibeli secara terus menerusi laman web meenmalaysia.com atau menghubungi pengedar sah seperti Kopasar.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Anggota Lembaga ANGKASA iaitu Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Puan Sharifah Aminah Syed Mohssain, Pengerusi ANGKASA Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah dan Timbalan Pengerusi Kopasar, Dato’ Ismail Nordin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *