PROGRAM KOPERASI PRIHATIN SEJUTA POKOK BERI IMPAK BESAR KEPADA GERAKAN KOPERASI DI PERINGKAT ANTARABANGSA
Program Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok menerusi kerjasama bersepadu pelbagai pihak berjaya memberi impak besar bukan sahaja kepada masyarakat dan negara, malah di peringkat antarabangsa.
Inisiatif berterusan ANGKASA itu terbukti mendapat kerjasama daripada pihak antarabangsa apabila ICA-AP Committee on Youth Cooperation (ICYC) turut mempromosikan program tersebut melalui aktiviti penanaman sebanyak 261 pokok pelbagai spesis di SMK Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah pada 29 Julai 2023.
Aktiviti tersebut yang juga dilaksanakan menerusi Go Green Campaign 4.0 anjuran ICYC melibatkan lebih 180 delegasi belia dari 19 negara rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia yang menyertai Asia Pacific Cooperative Youth Summit (APCYS 4.0).
APCYS 4.0 telah berlangsung selama empat hari bermula pada 26 Julai 2023 di Kota Kinabalu dan dianjurkan oleh Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) dengan kerjasama ICYC. Buat julung kalinya juga Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah menerusi ANGKASA sebagai hos program.
Demikian dinyatakan Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pertandingan Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Selangor pada hari ini (5 Ogos 2023).
Dalam majlis itu, sebanyak 20 daripada 100 pokok puding jenis Odiaeum Variegatum ditanam di SBPI Gombak sebagai tanda simbolik kepada pelancaran pertandingan tersebut sekali gus bermatlamat menggalakkan penglibatan sebanyak 2,841 koperasi sekolah yang memiliki keanggotaan seramai dua (2) juta orang bagi mencapai objektif penanaman sejuta pokok oleh gerakan koperasi.
Pertandingan Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan anjuran ANGKASA menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM52,800 beserta sijil peringkat kebangsaan dan sijil pencapaian kepada pemenang Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Negeri (Kategori Sekolah), Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Kebangsaan (Kategori Sekolah) dan Jumlah Penanaman Pokok Tertinggi Peringkat Kebangsaan (Kategori Pelajar).
Pertandingan itu terbuka kepada semua koperasi sekolah ahli ANGKASA di seluruh Malaysia.
Pokok yang ditanam perlu selaras dengan definisi pokok sebagaimana yang digariskan oleh agenda Penghijauan Malaysia iaitu semua jenis pokok tumbuhan berkayu yang mempunyai akar, batang, dahan dan daun.
Koperasi sekolah yang berminat boleh memuat turun aplikasi Penghijauan Malaysia secara percuma di Google Playstore, Apple App Store dan Huawei AppGallery untuk mendaftar atau melalui laman sesawang 100jutapokok.gov.my serta daftar menerusi borang dalam talian (Google Form).
Tempoh pertandingan tersebut bermula dari 15 Jun 2023 sehingga 15 Oktober 2023. Untuk maklumat lanjut berkenaan terma dan syarat pertandingan dan pautan e-borang penyertaan, peserta boleh melayari laman sesawang www.sejutapokok.coop atau www.angkasa.coop atau Facebook: @SejutaPokok / @ANGKASACoop
Hadir sama dalam majlis itu ialah Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Encik Amran Abd. Kadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Haji Hafiz Ridhuan Md. Daud, Pengarah Bahagian Ladang Hutan dan Perlindungan Hutan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Encik Radhi Chu Abdullah, Timbalan Pengarah II, Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Pendidikan Menengah, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Encik Azizan Ismail, Pengarah ICT, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Puan Azlifah Abas, Pengarah Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zaini Sakawi, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SBPI Gombak, Dato’ Dr. Hamzaki Haji Hamzah dan Penolong Kanan Pentadbiran (SBPI) Gombak, Puan Shahariah Mohamed Ismail.
Hadir sama ialah Anggota Lembaga ANGKASA iaitu terdiri daripada Datuk Haji Mohamed Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail, Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Encik Azizul Alias (wakil KUSKOP) dan Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato’ Haji Alias Hamzah.