Beting Beras Basah Hikayat Dewa Mahkota dipentaskan di Istana Budaya pada 30,31 Oktober & 1 November 2026, dapatkan potongan harga tiket dengan menghubungi 0122179155.
KUALA LUMPUR – Kisah asal-usul Kesultanan Perak yang mempunyai kaitan dengan kesinambungan warisan Kesultanan Melayu Melaka kini diketengahkan menerusi sebuah pementasan yang bertujuan memperkenalkan sejarah, adat istiadat serta khazanah warisan negeri itu kepada masyarakat umum.

Pengarang asal karya berkenaan, Kamarul Haizat yang menggunakan nama Seri Mangku Bumi dalam penceritaan, berkata idea tersebut bermula daripada kajian dan penyelidikan yang dilakukannya sebelum diserahkan kepada pihak Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza Negeri Perak untuk dikembangkan menjadi sebuah penceritaan dan seterusnya skrip pementasan.

Menurutnya, karya asal itu turut melalui beberapa proses pengubahsuaian dan penambahbaikan bagi memastikan jalan cerita lebih menarik, tersusun serta mampu menggambarkan sejarah awal Kesultanan Perak dengan lebih berkesan.
Persembahan itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang memeriahkan majlis berkenaan.


Cerita ini menggambarkan bagaimana bermulanya kesinambungan pemerintahan Raja-Raja Melayu daripada Kesultanan Islam Melaka sehingga terbentuknya Kesultanan Perak.
“Perkara paling menarik ialah kita dapat membongkar dan mengetengahkan sejarah ini kepada masyarakat umum supaya mereka lebih memahami asal-usul warisan Kesultanan Perak,” katanya.
Beliau berkata, pementasan itu bukan sekadar mengangkat kisah sejarah pemerintahan diraja, malah turut memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai asal-usul adat istiadat serta pelbagai khazanah warisan yang mempunyai nilai tersendiri dalam tradisi negeri Perak.
Antara elemen yang diketengahkan termasuk Beteng Beras Basah, Pedang Curau, Batu Geliga Embun dan Mustika Embun, selain beberapa upacara serta adat istiadat yang berkait rapat dengan warisan Kesultanan Perak.


Jelasnya, masih terdapat masyarakat yang mengetahui tentang kewujudan adat dan khazanah berkenaan, namun tidak memahami sejarah di sebalik asal-usulnya.
Justeru, pementasan itu diharapkan dapat memberikan pemahaman yang lebih mendalam, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali sejarah negeri Perak berdasarkan penceritaan yang disusun secara lebih menarik dan mudah dihayati.
“Kita mahu masyarakat bukan sekadar mendengar cerita daripada pelbagai pihak, tetapi turut memahami bagaimana sesuatu adat, warisan dan khazanah itu mempunyai sejarah serta latar belakangnya sendiri. Itulah yang ingin kita sampaikan menerusi pementasan ini, iaitu mengangkat dan memperkenalkan sejarah negeri Perak supaya lebih ramai dapat mengenalinya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kerjasama dengan Istana Budaya sebagai satu pencapaian membanggakan kerana membuka peluang kepada karya berkenaan dipersembahkan di pentas berprestij itu.
Menurutnya, usaha membawa kisah sejarah Kesultanan Perak ke Istana Budaya merupakan peluang bermakna untuk memperluas pendedahan masyarakat terhadap warisan negeri berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa tahun hadapan bakal menjadi detik penting buat Kesultanan Perak yang akan memperingati ulang tahun ke-500 penubuhannya.
Sehubungan itu, pementasan berkenaan dilihat sebagai antara usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap sejarah dan warisan Kesultanan Perak, selain memastikan kisah yang mempunyai nilai sejarah itu terus dikenali serta diwarisi oleh generasi akan datang.
Beliau berkata, usaha mengangkat kisah tersebut sebelum sambutan ulang tahun berkenaan juga menjadi satu langkah bermakna dalam memperkenalkan keunikan sejarah negeri Perak kepada khalayak yang lebih luas.
Dapatkan tiket secara online di CloudJoy




