Konsert “Cipta Raya” M. Nasir: Sejarah Tercipta, Lagu Raya Dalam Skala Mega!

KUALA LUMPUR, 13 April 2025 – Legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, bakal mencipta sejarah dengan konsert raya berskala besar pertama di Malaysia, “Cipta Raya”, yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 13 April 2025. Konsert ini merupakan spin-off eksklusif dari siri Konsert Cipta 1 & 2, dengan fokus utama mempersembahkan lagu-lagu raya ikonik.

Pertama Kali, Konsert Raya Dalam Skala Mega!
Tidak seperti konsert biasa yang menampilkan pelbagai genre, “Cipta Raya” sepenuhnya meraikan lagu-lagu Aidilfitri, menampilkan kira-kira 20 buah lagu, dengan 17 daripadanya merupakan karya raya. Konsert ini dianjurkan oleh Icon Entertainment, yang melihat sambutan luar biasa terhadap lagu raya “Satu Hari Di Hari Raya” dalam Konsert Cipta 2 sebagai pencetus idea konsert unik ini.
Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi juga sebuah keraian khas Aidilfitri bagi peminat seni muzik tanah air.


“Biasanya, konsep spin-off digunakan dalam dunia filem, tetapi kali ini, kami ingin buktikan bahawa lagu-lagu raya juga layak diraikan dalam skala konsert. M. Nasir bukan sahaja memiliki banyak lagu raya sendiri, tetapi juga karya yang pernah dinyanyikan oleh artis lain. Ini satu penghormatan buat beliau dan seluruh peminatnya,” kata Iman Tang.
Cipta Pengalaman Beraya Bersama M. Nasir
Satu lagi keunikan “Cipta Raya” adalah konsepnya yang berbeza – ia bukan sekadar konsert tetapi juga rumah terbuka buat peminat M. Nasir!
Setiap pembelian tiket bukan sahaja memberikan akses ke konsert, tetapi juga jemputan untuk menikmati juadah raya bermula jam 6 petang sebelum konsert bermula jam 8:30 malam.

“Cipta Raya adalah sebuah konsert yang sangat istimewa dan perlu diraikan seperti hari raya – sebagai hari kemenangan kita semua,” ujar Dato’ M. Nasir.
Kategori Tiket & Tarikh Jualan
Tiket konsert “Cipta Raya” boleh dibeli mulai 5 Mac 2025 (Rabu), jam 11:00 pagi, di www.ticket2u.com.my/MNasirCiptaRaya dengan harga seperti berikut:
Sate dan Kuah Kacang (Seating) – RM588
Rendang dan Ketupat (Standing) – RM258
Lontong dan Kuah Kacang – RM388
Lemang dan Serunding – RM588
VIP Box – RM10,000


CIPTA RAYA: Bukan Sekadar Konsert, Tetapi Keraian Aidilfitri!
Konsert ini dijangka akan menjadi salah satu acara paling epik dalam sejarah muzik tempatan, mencipta pengalaman beraya yang tidak akan dilupakan oleh peminat Dato’ M. Nasir.
Buat mereka yang ingin menyambut Aidilfitri dengan cara yang lebih istimewa, inilah masanya untuk menabung duit raya dan menyertai sejarah di Zepp Kuala Lumpur!


CIPTA RAYA – 13 APRIL 2025 (AHAD), 8:00 MALAM, ZEPP KUALA LUMPUR
Jumpa di sana dan jangan lupa, semua penonton akan mendapat sampul duit raya eksklusif!