Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 Kembali, Himpunkan 10 Penyanyi Popular Era 80-an dan 90-an


KUALA LUMPUR, 26 Feb 2026 – Sambutan Ramadan tahun ini bakal diserikan dengan penganjuran Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 yang kembali dianjurkan atas permintaan ramai, menghimpunkan 10 penyanyi terkenal era 80-an dan 90-an dalam satu pentas istimewa.

Konsert berkonsepkan hiburan dakwah itu akan berlangsung pada 14 Mac 2026 di Saloma, Kuala Lumpur, anjuran HS Event & Ent Sdn Bhd dengan kerjasama Saloma.

Antara artis yang bakal memeriahkan pentas konsert termasuk Shima, To’Ki, Zur Eda, Norshila Amin, Dayangku Intan, Roy Ratnaku, Mamat Exists, Kopratasa, Zack Kacamata dan The Rayhan.

Menurut penganjur, Tan Sri Dr Riza Dato’ Che Umar bersama rakan kongsi Mubarak Akhtar, penganjuran konsert kali ini dibuat berdasarkan permintaan peminat yang mahukan gabungan hiburan dan pengisian spiritual sepanjang Ramadan.

Antara rakan media yang memberi sokongan

“Rata-rata peminat menyukai konsep hiburan dakwah yang kami tampilkan sebelum ini, di mana persembahan bukan sekadar hiburan, tetapi turut diselitkan nilai spiritual dan aktiviti keagamaan yang sesuai dengan bulan Ramadan,” kata Mubarak.

Beliau berkata, program tersebut akan dimulakan dengan tadarus al-Quran dan tazkirah sebelum berbuka puasa, diikuti solat Maghrib secara berjemaah. Selepas solat Isyak dan tarawih, barulah persembahan artis dimulakan.

Tambahnya, pihak penganjur juga tidak menyangka kesemua artis terkenal yang dijemput bersetuju menyertai konsert tersebut walaupun masing-masing mempunyai perjalanan seni yang panjang serta pengikut setia.

“Pastinya peminat teruja untuk melihat mereka beraksi sekali lagi di atas pentas,” katanya.

Selain menyajikan hiburan yang bermakna, konsert ini turut membawa misi kebajikan apabila sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan bagi membantu golongan memerlukan.

Menurut Mubarak, pihaknya menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 25 kanak-kanak yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan, selain memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim sempena Aidilfitri.

“Inisiatif ini diharap dapat meringankan beban mereka serta membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya.

Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 dijangka menjadi antara acara istimewa sepanjang bulan Ramadan dengan gabungan hiburan, dakwah dan kebajikan dalam satu pentas yang penuh makna.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *