KOPERASI MAMPU MENJADI PLATFORM BANTU KEBAJIKAN DAN SOSIOEKONOMI MASYARAKAT KEMBOJA DI PERANTAUAN

  • January 15, 2023
  • 2 min read
KOPERASI MAMPU MENJADI PLATFORM BANTU KEBAJIKAN DAN SOSIOEKONOMI MASYARAKAT KEMBOJA DI PERANTAUAN

Matlamat untuk menjaga kebajikan masyarakat Kemboja yang bekerja dan belajar di Malaysia menerusi pembentukan koperasi menjadi antara perkara utama untuk dibincangkan dalam sesi pertemuan Setiausaha Negara Kerajaan Kemboja dan wakil kedutaannya ke ANGKASA pada hari ini (14 Januari 2022).

Kehadiran Setiausaha Negara Kemboja, Mr, Mon Kriya dan tiga wakil kedutaan Kemboja ke Malaysia iaitu Miss Som Sivann, Mr. Ke Veasna dan Mr. Pen Narong bersama 30 rakyat Kemboja yang merupakan pelajar dan pekerja di Malaysia telah disambut oleh Anggota Lembaga ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, mewakili Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Turut sama menyambut kehadiran pelawat tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Pengurus Besar Bahagian Kepimpinan Modal Insan dan Keusahawanan, En. Ahmad Marzuki Ismail dan Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Antarabagsa, Dr. Noraini Mohamad.

Antara perkara dibincangkan adalah berkaitan dengan peluang dan kerjasama yang boleh terjalin antara kedua belah pihak bagi menjamin kesejahteraan sosioekonomi masyarakat Kemboja di Malaysia.

Selain itu, Mr. Mon juga turut menekankan tentang kepentingan untuk mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia terhadap pekerja dan pelajar warga Kemboja yang berada di Malaysia bagi menjamin keharmonian masyarakat.

Beliau juga menyatakan dalam ucapannya bahawa Kedutaan Kemboja di Malaysia juga dapat membantu memudahkan lagi urusan termasuk membantu dalam pelbagai aspek.

Kenyataan beliau turut dipersetujui oleh Datuk Haji Mohammad Ali Hasan yang menyatakan bahawa koperasi adalah satu pendekatan terbaik dan sesuai dalam usaha untuk menjaga kebajikan sesama anggota.

Katanya, aktiviti koperasi sememangnya berteraskan kepada kerja-kerja sosial yang secara tidak langsung boleh menjamin dan meningkatkan taraf hidup rakyat Kemboja itu sendiri pada masa depan.

Delegasi turut dibawa melawat ke Kedai Runcit BA100, CoopFarmasi dan Pusat Pemasaran Produk ANGKASA sebelum majlis berakhir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *