Koperasi sebagai pembina kelestarian ekonomi, sosial dan alam sekitar.  

  • May 26, 2022
  • 3 min read
Koperasi sebagai pembina kelestarian ekonomi, sosial dan alam sekitar.  

ANGKASA mengambil tindakan pro aktif dengan menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG) seperti yang termaktub dalam rangka tindakan Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) yang meletakkan koperasi sebagai pembina kelestarian ekonomi, sosial dan alam sekitar.
 
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, antara inisiatif yang digerakkan adalah seperti menyediakan akses kesihatan kepada anggota dan masyarakat umum selaras Matlamat ke-3 SDG dengan membuka peluang kepada koperasi menjalankan perniagaan farmasi di bawah jenama Coop Farmasi dan Coop Wellness. Usaha tersebut katanya adalah bagi membantu rakyat Malaysia mendapat akses kepada produk kesihatan pada harga yang berpatutan.


 
Selain itu, selaras dengan Matlamat ke-4 SDG: ‘Pendidikan Berkualiti’, ANGKASA  telah memberi peluang kepada warga kerjanya untuk menyambung pengajian di pelbagai peringkat sebagai langkah meningkatkan tahap kemahiran dan pembangunan modal insan.
 
Katanya, ANGKASA juga menyokong Matlamat ke-13 SDG: ‘Menangani Perubahan Iklim’ dengan menjayakan agenda kerajaan menanam pokok. Usaha tersebut adalah bagi membantu memulihara hutan terosot melalui penanaman pokok di plot hutan simpan negeri Selangor seluas 20 ekar yang dijadikan ‘hutan angkat koperasi’.  Usaha tersebut dijayakan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Yayasan Hijau Malaysia.
 
“Melalui webinar kali ini, kita mahu melihat peranan koperasi sama ada di peringkat global ataupun nasional dalam segenap lapangan berjaya memberi sumbangan berkesan ke arah pencapaian SDG”, ujar beliau.
 
Beliau juga turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan dan warga Universiti Malaysia Kelantan (UMK) atas kejayaan kerjasama strategik menjayakan program tersebut dan program pembangunan koperasi melalui ANGKASA-UMK Research Academy (AURA) yang kini sudah memasuki tahun kedua.
 
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata demikian dalam ucapan perasmian Webinar AURA Siri 2 bertajuk ‘SDG 2030: Koperasi Penyumbang Berkesan’ pada hari ini (25 Mei 2022).
 
Webinar kali ini membincangkan isu global berkaitan SDG oleh koperasi. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah mengiktiraf gerakan koperasi sebagai pemain utama kerana prinsip dan falsafah koperasi itu sendiri yang menggalakkan demokrasi, meningkatkan pendapatan, memupuk keterangkuman sosial dan menjaga alam sekitar.
 
Webinar tersebut yang menampilkan Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Institusi Pendidikan ICA-AP (ICEI), Dr. Mohd Azlan Yahya sebagai moderator telah mengetengahkan tiga  panel jemputan bagi mengupas tajuk tersebut dalam tiga pusingan iaitu Anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA, Haji Nasir Khan Yahaya; Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan, Prof. Dr. Razli Che Razak dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan), Institut Koperasi Malaysia, En. Mohd Zaib Mat Yunus.
 
Program yang berlangsung secara dalam talian itu berjaya mengumpulkan lebih 130 peserta termasuk Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dan Anggota Lembaga ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan. Program yang diakhiri dengan sesi soal jawab bersama peserta itu berakhir pada pukul 1.00 tengahari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *