KPN Lancar Perkampungan Harmoni, Fokus Perpaduan Generasi Muda

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memperkenalkan program baharu, Perkampungan Harmoni, pada tahun ini sebagai usaha memperkukuh perpaduan nasional dengan memberi tumpuan khusus kepada golongan muda daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata program di bawah inisiatif Harmoni MADANI itu bertujuan melahirkan generasi muda sebagai duta perpaduan dan agen perubahan sosial dalam memupuk keharmonian masyarakat berasaskan nilai saling memahami, menghormati dan meraikan kepelbagaian.

Menurut beliau, keharmonian bukan sekadar nilai tambah, sebaliknya merupakan teras penting dalam pembinaan negara bangsa yang stabil dan makmur. Kementerian turut menekankan agenda pembinaan keyakinan bersama agar setiap suara rakyat didengari dan kepelbagaian dijadikan kekuatan identiti Malaysia.

Dalam masa sama, beliau menegaskan peranan penting sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan strategik kerajaan dalam mengukuhkan perpaduan, khususnya di peringkat akar umbi.
Berucap sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Datuk Aaron turut menyifatkan kepelbagaian kaum, agama dan budaya sebagai aset terbesar negara yang perlu dimanfaatkan bagi membina masyarakat harmoni, bersatu padu dan saling menghormati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *