Wanita KEADILAN Pusat menyatakan sokongan penuh terhadap pengumuman YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 (RPM 2026–2035) dan langkah perkukuhkan Bahasa Melayu di samping pendekatan pelbagai bahasa.
Wanita KEADILAN percaya bahawa pelan ini akan membina sistem pendidikan kebangsaan yang inklusif dan progresif bagi melahirkan pelajar yang berperanan sebagai warganegara global yang berilmu dan berjati diri, tanpa mengira latar belakang sosial, kaum atau agama.
Selaras dengan RPM 2026–2035, Wanita KEADILAN juga menyambut baik langkah Perdana Menteri mewajibkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), termasuk dari sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, Maahad Tahfiz serta sekolah aliran Unified Examination Certificate (UEC).
Langkah ini merupakan usaha gigih dan berterusan Kerajaan Madani terhadap perpaduan nasional, penguasaan bahasa kebangsaan dan semangat kenegaraan.
Pada masa yang sama, Wanita KEADILAN amat menyokong penegasan Perdana Menteri bahawa Bahasa Inggeris mesti ditingkatkan, di samping penawaran Bahasa Cina, Tamil dan Arab di sekolah kebangsaan. Pendekatan dwibahasa dan pelbagai bahasa ini akan memperkukuhkan daya saing dan keterbukaan pelajar Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, Wanita KEADILAN menyeru semua pihak ibu bapa, para pendidik, pertubuhan masyarakat, dan penggiat reformasi pendidikan untuk bersama-sama mendukung pelan ini dengan semangat perpaduan nasional, demi masa depan anak‑anak Malaysia yang lebih gemilang, berilmu dan berdaya saing.
Datuk Ginie Lim
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat



