KUSCCO MINAT PELAJARI MODEL GERAKAN KOPERASI SEKOLAH

  • April 6, 2023
  • 2 min read
KUSCCO MINAT PELAJARI MODEL GERAKAN KOPERASI SEKOLAH

Minat dan kesungguhan untuk mempelajari kejayaan model gerakan koperasi sekolah di Malaysia telah mendorong Kenya Union of Savings & Credit Cooperatives (KUSCCO) Ltd. untuk mengadakan lawatan ke Koperasi SM Agama Kuala Lumpur Berhad hari ini (5 April 2023).

Ketibaan delegasi seramai 19 orang yang diketuai Pengerusi Kenya National Police DT SACCO , Mr. David Kangogo telah disambut oleh anggota koperasi sekolah tersebut yang diketuai Pengerusinya, Haji Wan Jamaludin Wan Bidin.

Seterusnya, delegasi Kenya itu telah mengadakan sesi lawatan ke ibu pejabat ANGKASA dan ketibaan mereka telah disambut oleh barisan kepimpinan tertinggi ANGKASA yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.

Beliau dalam ucapannya menyambut baik minat yang ditunjukkan oleh kepimpinan koperasi dari negara Afrika Timur itu terhadap konsep koperasi sekolah selain menyatakan kesediaan ANGKASA untuk memberi bantuan dan tunjuk ajar sekiranya mereka ingin mencontohi kaedah yang dijalankan oleh ANGKASA dalam menubuhkan koperasi di peringkat sekolah.

Selain menyatakan rasa kagum beliau terhadap pencapaian Kenya dalam sumbangan sektor koperasi di negara itu sebanyak 32 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga turut menyatakan harapannya supaya sesi lawatan tersebut dapat menghasilkan kerjasama antara ANGKASA dengan KUSCCO dalam pelbagai aspek.

Lawatan ke Koperasi SM Agama Kuala Lumpur Berhad itu juga merupakan lanjutan daripada sesi perkongsian mengenai koperasi sekolah yang telah disampaikan oleh Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Cooperative Housing International , Datuk Haji Mohamad Ali Hasan.

Sesi perkongsian tersebut yang telah diadakan secara dalam talian pada 22 Februari 2023 adalah bersempena Konvensyen Kepimpinan Koperasi Simpanan dan Kredit (SACCO) ke-8 2023.

Hadir sama pada sesi lawatan itu ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Anggota-Anggota Lembaga ANGKASA yang terdiri daripada Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Dato’ Haji Kamarudin Ismail yang juga merupakan Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Dr. Noraini Mohamad, Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim dan Pengurus Bahagian Sekolah, Encik Abu Bakar Busmah.

KUSCCO merupakan badan induk untuk lebih 14,000 buah koperasi dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,000 buah koperasi merupakan Koperasi Simpanan dan Kredit (SACCO) termasuk Kenya National Police DT SACCO .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *