KUSKOP SALUR RM813.4 JUTA KEPADA 53,395 PMKS DAN KOPERASI DI SABAH TAHUN 2024

KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
(KUSKOP) menyalurkan sejumlah RM813.4 juta kepada 53,395 perusahaan mikro kecil
dan sederhana (PMKS) dan koperasi di Sabah sepanjang tahun 2024.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pembiayaan itu disalurkan melalui agensi-
agensi KUSKOP termasuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank
Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Selain itu katanya, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga telah melaksanakan
41 program latihan dan bimbingan keusahawanan di Sabah sepanjang tahun lalu yang memberi manfaat kepada seramai 1,585 usahawan.
“KUSKOP juga telah memperkenalkan program khas Ehsan@KUSKOP untuk membantu usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah.
“Bagi tujuan ini, Yayasan Bank Rakyat telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM3 juta
untuk melaksanakan program ini bermula tahun ini di tiga daerah yang dikenal pasti
mempunyai daftar kemiskinan tinggi iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud.
“Usaha sedang digerakkan untuk menyediakan bantuan pendidikan kepada pelajar sekolah dalam kalangan eKasih terutama di tiga daerah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Apresiasi Media Sabah 2025,
di Hilton Hotel, di sini, semalam.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Kadamaian berkata, daripada jumlah keseluruhan pembiayaan yang disalurkan di Sabah sepanjang tahun lalu, jumlah pembiayaan di Parlimen Penampang sebanyak RM20.95 juta yang memberi manfaat kepada 478 usahawan PMKS dan Koperasi.
“Manakala bagi kawasan DUN Kadamaian pula, sebanyak RM16.58 juta telah disalurkan
kepada 1,683 usahawan dan PMKS, sepanjang tahun lalu.