INISIATIF PRIHATIN BANJIR SABAH DAN SARAWAK KUSKOP SEDIA BANTU USAHAWAN DAN KOPERASI PULIH

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
(KUSKOP) menerusi agensi-agensi dibawahnya mengambil pelbagai inisiatif bagi
membantu usahawan di Wilayah Sabah dan Sarawak yang terkesan banjir baru-baru ini.
Inisiatif ini bagi meringankan beban yang dihadapi oleh usahawan di mana premis
perniagaan terjejas, kerosakan stok barangan atau kediaman.
Antara kemudahan yang ditawarkan agensi KUSKOP iaitu TEKUN Nasional
menyediakan moratorium hingga tiga (3) bulan untuk memberikan kelonggaran
kewangan kepada usahawan yang terkesan untuk membayar balik pembiayaan akibat
terkesan banjir. Selain itu, mereka juga dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan dalam akaun pembiayaan dan boleh membuat penjadualan semula pembayaran pembiayaan.
Bagi usahawan TEKUN yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok
barangan, boleh memohon pembiayaan bertindih (overlapping) untuk memulakan
semula perniagaan yang terjejas. Bantuan dalam bentuk suntikan modal atau
pembiayaan tambahan boleh digunakan oleh usahawan untuk memulihkan atau
meningkatkan operasi perniagaan mereka selepas kejadian banjir. Seramai 702 orang
usahawan TEKUN dari Sabah dan Sarawak didapati terjejas banjir dengan anggaran
kerugian RM3.2 juta.
Bank Rakyat pula menawarkan penangguhan sementara bayaran ansuran bulanan untuk
tempoh sehingga enam (6) bulan sepanjang tempoh pembiayaan. Antara produk yang
ditawarkan menerusi kemudahan ini adalah Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan
Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pajak Gadai-i,
Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Kad Kredit-i.
Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) juga menawarkan bantuan banjir berbentuk
moratorium tiga (3) hingga enam (6) bulan untuk bayaran ansuran bulanan tertakluk
kepada permohonan dan kelulusan pengurusan.