Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 satukan sukan, budaya, ESG dan ekonomi komuniti

TANJONG KARANG, 5 September 2026 — Datang untuk berlari, namun pulang membawa pengalaman yang lebih daripada sekadar catatan masa. Itulah konsep yang dibawa menerusi Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0, anjuran PKSUM Event and Management, dengan Wasiyyah Holdings Berhad tampil sebagai penaja utama buat kali kedua. Acara itu menggabungkan gaya hidup aktif dan sihat dengan keindahan alam, budaya tempatan, komuniti serta usaha merancakkan ekonomi setempat.

Memasuki edisi keempat, acara berkenaan mencatat peningkatan penyertaan dengan kira-kira 4,500 peserta, berbanding 3,500 peserta pada edisi terdahulu.

Peningkatan itu bukan sahaja mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap acara berkenaan, malah menunjukkan semakin ramai tertarik dengan konsep larian yang menggabungkan aktiviti fizikal, alam semula jadi, budaya dan komuniti dalam satu perjalanan.

Bagi Wasiyyah Holdings Berhad, penganjuran program itu bukan sekadar acara sukan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat dalam menyokong kesejahteraan masyarakat menerusi gaya hidup sihat, penglibatan komuniti dan usaha merancakkan ekonomi setempat.

Group President & Chief Executive Officer (CEO) Wasiyyah Holdings Berhad, Tn Haji Ariffin bin Sabirin, berkata penganjuran program itu turut dilihat mampu memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat, selain menjadi platform untuk menggalakkan budaya hidup sihat.

“Kita nampak penganjuran program ini memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat. Yang kedua, kita merasakan bahawa ini salah satu daripada aktiviti ESG kita untuk menggalakkan budaya masyarakat sihat,” katanya.

Menurut Tn Haji Ariffin bin Sabirin, acara berkenaan turut mempunyai nilai strategik kepada Wasiyyah Holdings Berhad kerana peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai lapisan, termasuk pasangan muda dan keluarga yang membawa anak-anak.

“Kita rasa capaian market segmentation itu penting sebab yang terlibat ramai pasangan muda, golongan muda dengan anak-anak. Ini adalah segmentasi pasaran yang memang Wasiyyah sedang fokuskan sekarang,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu selari dengan strategi pendigitalan Wasiyyah Holdings Berhad, khususnya menerusi pengenalan iBAH Digital pada 2023.

Menurutnya, perubahan profil pelanggan syarikat juga menunjukkan semakin ramai golongan muda mula mengambil berat mengenai perancangan harta.

“Kalau dulu kebanyakan pelanggan kita berumur 55 tahun ke atas. Tetapi semenjak 10 tahun kebelakangan ini, kita dapati pelanggan kita yang berumur 55 tahun ke atas itu hanyalah sekitar 35 peratus daripada jumlah pelanggan.”

Katanya, kira-kira 65 peratus pelanggan pula berusia antara 30 hingga 55 tahun, sekali gus menunjukkan profil umat Islam yang merancang harta semakin muda.

Wasiyyah Holdings Berhad kini mempunyai lebih 100,000 pelanggan, dengan golongan muda menjadi antara segmen penting yang mahu terus didekati dan dididik mengenai kepentingan perancangan harta.

“Kita dapati profil orang Islam yang merancang harta sebenarnya semakin lama semakin muda, bukan semakin tua. Yang ramai adalah orang muda. Jadi program seperti Larian Sawah Padi ini adalah cara untuk kita mencapai pasaran sasaran itu,” katanya.

Menurut beliau, program seperti itu memberikan peluang kepada Wasiyyah Holdings Berhad untuk membina hubungan yang lebih baik dengan golongan sasaran, selain memberikan kesedaran supaya mereka bukan sekadar memahami kepentingan merancang harta tetapi turut mengambil tindakan.

“Dia dah faham tetapi dia belum bertindak. Orang muda ini memang macam itu. Dia suka merasakan masih muda lagi dan masih ada banyak masa. Jadi kita buat ini sebab kita nak reach market sasaran.”

Dalam usaha memudahkan lebih ramai masyarakat mengambil langkah awal dalam perancangan harta, Tn Haji Ariffin bin Sabirin berkata Wasiyyah Holdings Berhad turut memperkenalkan promosi Hibah RM4,999.

Katanya, hibah merupakan antara produk utama Wasiyyah yang diperkenalkan sejak 2004, dengan permintaan tinggi khususnya membabitkan hartanah bercagar.

Menurut beliau, kebanyakan golongan muda membeli rumah menggunakan pinjaman bank dan terdapat keperluan untuk memastikan aset berkenaan turut dirancang dari sudut pewarisan.

“Majoriti orang muda beli rumah secara pinjaman bank. Jadi mereka nak hibahkan rumah yang masih ada pinjaman bank. Kita buat penyelidikan pada 2017 dan dapati harta bercagar itu boleh dihibahkan,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan perkhidmatan hibah yang disediakan pihak profesional dalam pasaran lazimnya mengenakan caj sekitar RM1,500 dan ke atas, manakala Wasiyyah menawarkan pakej Hibah RM4,999 sebagai usaha menarik lebih ramai golongan muda untuk merancang harta.

Menurutnya, kepentingan perancangan harta amat ketara khususnya apabila berlaku kematian kepada pasangan muda yang mempunyai anak bawah umur.

“Daripada pengalaman operasi kita, bila berlaku kematian kepada pasangan muda dan ada anak bawah umur 18 tahun, anak itu akan terjejas dengan teruk bila mak bapak dia meninggal dunia.”

Katanya, walaupun ibu bapa mungkin meninggalkan rumah, akaun bank atau aset lain, anak yang masih kecil memerlukan pengurusan yang betul bagi memastikan harta berkenaan dapat dituntut dan diuruskan.

Justeru, Wasiyyah menyediakan perkhidmatan pengurusan harta selepas kematian pelanggan tanpa mengenakan bayaran kepada waris.

“Bila berlaku kematian kepada pelanggan kita, kita boleh uruskan harta ini tanpa mengenakan sebarang fi kepada waris. Kita masih antara syarikat amanah di Malaysia yang boleh memberikan perkhidmatan itu secara percuma,” katanya.

Selari dengan perkembangan teknologi, Wasiyyah Holdings Berhad turut memperkenalkan iBAH Digital pada 2023, yang membolehkan proses hibah dilaksanakan secara digital.

Tn Haji Ariffin bin Sabirin berkata sehingga kini, kira-kira 21,000 orang Islam telah menggunakan aplikasi berkenaan, dengan lebih 36,000 dokumen dijana menerusinya.

“iBAH Digital kita ini bermakna hibah itu dibuat melalui aplikasi sahaja. The first paperless. Tak perlu kertas, tak perlu tandatangan kertas. Semuanya melalui aplikasi dan disimpan di cloud.”

Menurut beliau, pelaksanaan hibah secara digital itu turut mendapat pengesahan berkaitan akad hibah daripada Mahkamah Syariah di Johor dan Selangor.

“Aplikasi hibah kita itu telah pun mendapat pengesahan hibah daripada Mahkamah Syariah di Johor dan Selangor. Mahkamah Syariah terima walaupun tak ada kertas, hanya melalui aplikasi.”

Menariknya, teknologi berkenaan dibangunkan sendiri oleh Wasiyyah Holdings Berhad tanpa disumber luar.

“Teknologi ini dibangunkan sendiri oleh Wasiyyah. Kita ada sekumpulan anak muda, jurutera sistem tempatan yang memang kita ambil sendiri dan mereka ini staf kita.”

Beliau berkata permintaan terhadap iBAH Digital juga mula berkembang di peringkat antarabangsa apabila terdapat pihak luar negara yang berminat melihat bagaimana teknologi berkenaan boleh digunakan dalam perancangan harta.

Dalam pada itu, Tn Haji Ariffin bin Sabirin berkata jumlah peserta yang berdaftar tahun ini menghampiri 4,000 orang, namun jumlah kehadiran dijangka lebih tinggi apabila peserta membawa anak-anak dan ahli keluarga.

“Tahun ini ada hampir 4,000 peserta yang berdaftar, tetapi peserta-peserta ini bawa anak, bawa family dan sebagainya. Kita jangka dalam sekitar 5,000 ke 5,200 orang.”

Keunikan Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 pula terletak pada pengalaman yang ditawarkan sepanjang laluan.

Berbeza dengan kebanyakan acara larian yang sinonim dengan suasana bandar dan jalan raya, peserta berpeluang berlari dalam persekitaran yang lebih dekat dengan alam, dikelilingi hamparan sawah padi, kehijauan tanaman dan suasana kampung yang menjadi identiti kawasan berkenaan.

Lebih menarik, laluan tahun ini menampilkan 14 ‘checkpoint’, dengan setiap satunya menawarkan pengalaman berbeza.

Ada ‘checkpoint’ yang menyediakan makanan tradisional untuk dinikmati peserta, manakala elemen permainan tradisional pula membawa mereka mengimbau kembali nostalgia permainan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat suatu ketika dahulu.

Gabungan elemen itu menjadikan acara berkenaan lebih daripada sekadar perlumbaan, sebaliknya sebuah ‘experience run’ yang menggabungkan kecergasan dengan rasa, budaya, nostalgia dan kehidupan komuniti setempat.

Peserta bukan sekadar mengejar jarak dan masa, tetapi turut mengumpul pengalaman sepanjang perjalanan.

Di sebalik kemeriahan acara, Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 turut membawa mesej keterangkuman apabila disertai komuniti pelari yang terdiri daripada anak-anak istimewa.

Penyertaan mereka memperlihatkan bagaimana sukan dan gaya hidup sihat mampu menjadi ruang yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang mahupun keupayaan.

Kehadiran komuniti pelari anak istimewa bukan sahaja menambah warna kepada acara, malah mengangkat nilai inklusiviti dan semangat kebersamaan yang menjadi antara elemen penting penganjuran.

Dalam usaha mendekati masyarakat daripada pelbagai peringkat usia, Wasiyyah Holdings Berhad turut menjadikan Dato’ Rosyam Nor sebagai duta.

Tn Haji Ariffin bin Sabirin berkata pemilihan Dato’ Rosyam Nor dibuat berdasarkan keupayaannya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat, daripada golongan muda sehingga yang lebih berusia.

“Kenapa Dato’ Rosyam? Sebab Dato’ Rosyam boleh menarik pelbagai lapisan masyarakat daripada yang muda sehingga yang berumur. Budak kecil pun kenal. Jadi pemilihan Dato’ Rosyam disebabkan daya tarikan kepada semua lapisan masyarakat.”

Menurutnya, pendekatan itu penting kerana isu hibah dan pengurusan harta pusaka masih kurang diberi perhatian oleh sebahagian masyarakat Islam.

“Antara perkara yang terlalai orang Islam ialah pasal hibah dan pengurusan harta pusaka. Bukan kata siapa, saya sendiri pun rasa masyarakat Islam tak cukup celik.”

Dengan penyertaan daripada pelbagai negeri, acara itu turut menjadi peluang memperkenalkan Tanjong Karang daripada perspektif yang berbeza.

Tanjong Karang bukan sekadar kawasan pertanian yang terkenal dengan sawah padi, tetapi turut menawarkan pengalaman luar bandar yang autentik menerusi makanan, budaya, produk tempatan dan kehidupan masyarakatnya.

Bagi peserta dari luar kawasan, penyertaan dalam larian boleh menjadi sebahagian daripada pengalaman hujung minggu yang lebih bermakna — berlari pada waktu pagi, menikmati juadah tempatan, meneroka kawasan sekitar, membeli produk daripada usahawan setempat dan mengenali kehidupan komuniti kampung.

Secara tidak langsung, kehadiran ribuan peserta dan pengunjung turut membuka peluang kepada komuniti tempatan menerima limpahan ekonomi daripada acara berkenaan.

Antaranya termasuk peniaga kecil, pengusaha makanan, pemilik penginapan, pengusaha produk tempatan serta pelbagai penyedia perkhidmatan lain.

Ini menjadikan acara larian bukan sahaja sebagai platform gaya hidup sihat, tetapi turut berpotensi menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi setempat.

Bagi Wasiyyah Holdings Berhad, penganjuran itu turut mencerminkan usaha menerjemahkan agenda ESG syarikat dalam bentuk yang dekat dengan masyarakat.

Peserta mendapat ruang untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat, manakala komuniti pula mendapat peluang memperkenalkan kehidupan, budaya dan produk tempatan kepada pengunjung dari luar.

Pada masa sama, Tanjong Karang mendapat satu lagi platform untuk mengetengahkan potensinya sebagai destinasi agro-pelancongan dan pengalaman luar bandar.

Apabila sukan, kesihatan, pertanian, budaya, keterangkuman, pelancongan dan ekonomi komuniti bertemu dalam satu acara, sebuah larian akhirnya membawa makna yang lebih besar daripada sekadar sampai ke garisan penamat.

Ia menjadi ruang pertemuan dan jambatan antara pengunjung dengan komuniti yang menjadi nadi sesebuah kawasan.

Daripada hamparan sawah yang menghijau kepada makanan tradisional, daripada permainan zaman dahulu kepada gelak tawa komuniti pelari, Larian Sawah Padi Tanjong Karang 4.0 membawa peserta menyusuri sisi Tanjong Karang yang mungkin tidak ditemui dalam perjalanan biasa.

Daripada sawah untuk masyarakat, acara ini diharap terus berkembang sebagai sebuah platform yang bukan sahaja meninggalkan kenangan kepada setiap peserta, tetapi turut memberikan manfaat yang berkekalan kepada komuniti setempat.

Kerana di Tanjong Karang, setiap langkah bukan sekadar membawa peserta lebih dekat kepada garisan penamat. Setiap langkah membawa mereka lebih dekat kepada sawah, masyarakat, budaya dan cerita yang menjadikan Tanjong Karang begitu istimewa.

Mengenai Wasiyyah Holdings Berhad

Wasiyyah Shoppe Berhad, ditubuhkan pada 5 Mei 2004, merupakan syarikat amanah patuh Syariah yang komited menyediakan solusi perancangan dan pewarisan harta Islam secara inovatif, komprehensif dan sistematik.

Sebagai organisasi pertama yang memperkenalkan kaedah hibah secara agresif di Malaysia sejak 2004, Wasiyyah Shoppe terus mentransformasi industri pewarisan melalui kepakaran, modal insan berkualiti serta penyelesaian digital, dengan aspirasi membina amanah yang dipercayai dan diiktiraf di peringkat global.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *