Lawatan kerja rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Jepun

  • May 28, 2022
  • 2 min read
Lawatan kerja rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Jepun

TOKYO, 28 MEI 2022 – Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas kejayaan-kejayaan yang dicapai sepanjang Lawatan Kerja Rasmi Delegasi Malaysia ke Jepun yang berlangsung selama 5 hari.

Dalam pertemuan Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Tokyo, beliau bersetuju hubungan Malaysia- Jepun dinaiktaraf daripada “Strategic Partnership” kepada “Comprehensive Strategic Partnership”. Kesediaan Perdana Menteri Jepun untuk menaiktaraf hubungan ini adalah satu indikasi bahawa mereka meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap Kerajaan Malaysia yang dipimipin oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Termasuklah kesediaan pelabur-pelabur asing yang bersetuju untuk memulakan pelaburan di Malaysia dengan segera.

Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Perdana Menteri kerana dalam Persidangan NIKKEI, beliau dengan tegas menyuarakan pendirian mengenai peperangan Rusia- Ukraine yang akan memberi kesan kepada negara-negara miskin. Impak rantaian turut dirasai oleh Malaysia kerana ia akan menjejaskan bekalan makanan. Pendirian Kerajaan Malaysia jelas bahawa peperangan bukanlah satu jalan penyelesaian tetapi perlu diselesaikan secara damai melalui meja rundingan.

Perdana Menteri juga turut menyatakan pendirian mengenai Laut China Selatan kekal sebagai Zon Dagangan Bebas namun sebarang pencerobohan tidak dibenarkan. Tiada kompromi dalam isu Kedaulatan Negara.

Sudah tentu limpahan kemasukan pelabur asing ini mampu menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi yang akan memberi manfaat kepada negara. Oleh itu, bagi memastikan keseimbangan ekonomi bandar dan luar bandar, satu pelan strategi terbaik akan dirangka bagi memastikan masyarakat luar bandar juga mendapat manfaat daripada pelaburan ini. Faktor pendidikan, kemahiran, kesamaan ruang serta peluang perlu di titikberatkan dalam usaha menangani cabaran ekonomi di kawasan luar bandar. Saya bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan melihat dengan lebih terperinci strategi yang boleh dirangka supaya Keluarga Malaysia secara keseluruhannya turut merasai pertumbuhan ekonomi yang semakin berkembang di negara kita.

28 MEI 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *