Shaa Kembali Dengan Single Terbaru, “Tersentak Di Dada”

  • May 27, 2022
  • 4 min read
Shaa Kembali Dengan Single Terbaru, “Tersentak Di Dada”

Capai Gabungan Tontonan YouTube Mencecah 50 Juta, Shaa Kembali Dengan Single Terbaru, “Tersentak Di Dada”
Gadis kelahiran Kuala Kedah, Kedah ini pernah mencipta fenomena menerusi single sulung beliau berjudul “Pertama Kali” yang dikeluarkan pada tahun 2017. Video muzik, video lirik dan video persembahan live lagu tersebut mencapai jumlah tontonan luarbiasa lebih daripada 40 juta di YouTube! Shaa turut mencapai kejayaan membanggakan menerusi single ke-2 berjudul “Biar Ku Pergi” yang dikeluarkan pada tahun 2018 yang mencapai jumlah tontonan mencecah 6 juta di YouTube! Berbekalkan kelunakan suara yang dimiliki, Shaa berjaya mengumpul jutaan peminat bukan sahaja dari Malaysia tapi juga di Indonesia!


Kini, untuk mengubati rindu peminat, Shaa, 27, atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari kembali dengan single terbaru berjudul “Tersentak Di Dada” hasil ciptaan Matthius Mambang dan Jesley Jabu serta lirik oleh Matthius Mambang. Menariknya, lagu ini ialah rakaman semula lagu yang asalnya dalam bahasa Iban, Sarawak berjudul “Tegepang Ba Dada” yang dinyanyikan oleh Karen Libau. Video muzik rasmi lagu asal tersebut trending di YouTube ketika mula dikeluarkan dua tahun yang lalu dan kini sudah pun mencapai jumlah tontonan lebih daripada 3 juta di YouTube!
“Saya percaya rakaman semula lagu ini dalam bahasa Melayu dapat beri pendedahan yang lebih meluas untuk lagu yang baik ini kepada kelompok pendengar yang baru. Versi asal lagu ini dalam bahasa Iban pun dah mendapat sambutan yang hebat. Apalagi jika ia dinyanyikan dalam bahasa Melayu yang boleh difahami lebih ramai pendengar”.


“Genre lagu baru ini juga seacuan dengan lagu-lagu jiwang yang saya rakam sebelum ini seperti Pertama Kali dan Biar Ku Pergi. Jadi, saya percaya peminat-peminat saya boleh menerima single terbaru ini dengan baik”.
Apabila seseorang artis merakam semula sesebuah lagu, mereka tidak dapat lari dari perbandingan yang pasti dibuat peminat antara versi baru dan versi asal.


“Sudah pasti perbandingan akan dibuat pendengar antara versi baru dan versi asal lagu ini. Juga antara saya dan penyanyi asal, Karen Libau. Itu menjadi kebiasaan. Bagi saya, versi baru dan versi asal lagu ini mempunyai kekuatan masing-masing. Pendengar boleh menilaikannya sendiri. Versi baru lagu ini bukan sahaja berbeza dari segi bahasa tapi juga dari segi susunan muzik yang memberikannya suntikan nafas yang baru”.


“Bagi saya, versi baru dan asal lagu ini mampu saling membantu untuk memberi pendedahan yang lebih meluas kepada sebuah lagu yang sememangnya mempunyai melodi yang cukup baik”
Menyedari hakikat gimik dan kontroversi tidak boleh dipisahkan dari kerjaya seseorang artis, Shaa berkata dia sebolehnya tidak mahu terkait dengan sebarang isu terutama dalam mempromosikan lagu terbaharunya itu
“Saya tak suka gimik atau tular semata-mata untuk menaikkan nama walaupun ada segelintir yang mengambil pendekatan sebegitu. Sebab saya lebih suka dengan cara orang menyukai lagu bukan dengan gimik atau perkara-perkara sebegitu”.
“Cukuplah orang lebih sukakan suara dan lagu saya. Kalau dengan cara itu, nama akan naik dengan lebih elok. Maksudnya saya lebih sukakan cara promosi tersendiri. Cuma tidak menggunakan gimik atau video tular. Pendek kata, biarlah orang mengenali saya dengan suara dan bakat sendiri.
“Bagi lagu Tersentak Di Dada ini, mungkin kita dapat gunakan sebaiknya media sosial seperti TikTok dan Facebook untuk mempopularkan lagu ini. Malah, sebelum ini, rakaman secara live lagu Pertama Kali yang dimuat naik ke TikTok berjaya mempopularkan semula lagu ini.” katanya.


Berkongsi lanjut mengenai lagu Tersentak Di Dada, Shaa berkata proses rakaman lagu ini agak mencabar.
“Pengalaman merakam lagu ini memang sedikit mencabar sebab lirik asalnya dalam bahasa Iban. Jadi untuk ubah lirik ke bahasa Melayu perlu tukar sedikit lenggok nyanyiannya”.
“Saya banyak ikut tunjuk ajar idola saya iaitu Abang Eddie Hamid yang bertindak sebagai penerbit rakaman semula lagu ini. Dia banyak mengajar saya cara macam mana menyampaikan dan menjiwai sesebuah lagu. Walaupun kita sudah dengar lenggok lagu asal sebelum ini tapi kita kena ubah cara nyanyiannya agar ia menjadi lagu kita sendiri,” katanya.


Ditanya kesudiannya untuk menyertai sebarang pertandingan program realiti, Shaa berkata dia sentiasa bersikap terbuka.
“Saya pernah terfikir nak masuk pertandingan realiti. Tapi saya perlu atasi perasaan takut untuk masuk rancangan TV. Lagipun saya tak biasa bersaing dengan penyanyi-penyanyi yang lain dalam suatu pertandingan. Jadi buat waktu ini, saya duduk saja di tempat sendiri macam sekarang dan busking macam biasa.
“Tapi ada juga teringin di hati nak masuk. Cuma belum ada rezeki dan kesempatan lagi nak masuk. Tunggu orang panggil masuk dan saya akan mempertimbangkannya,” katanya.


Single terbaru “Tersentak Di Dada” Shaa terbitan Nova Music kini boleh didengar di semua pelantar striming muzik dan siaran perdana video muzik rasmi lagu tersebut bakal berlangsung di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari Jumaat, 27hb Mei jam 9 malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *