Lebih 300 Sertai Konvoi Serah Memorandum di MPS dan IPD Gombak

GOMBAK – Lebih 300 peserta menyertai satu konvoi aman bagi menyerahkan memorandum dan menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) di hadapan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), baru-baru ini.

Menurut penganjur, peserta hadir dari pelbagai lokasi termasuk ada yang menunggang motosikal dari Kelantan dan pulang pada hari sama sebagai tanda solidariti. Konvoi tersebut ditegaskan sebagai tidak melibatkan campur tangan politik.

Setibanya di perkarangan MPS, peserta mendapati pagar premis ditutup dan dikawal pegawai bertugas. Mereka memaklumkan hasrat untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua (YDP) MPS, namun dimaklumkan YDP tidak dapat hadir dan hanya wakil yang tersedia untuk menerima dokumen berkenaan. Perkara itu menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan peserta.

Rombongan kemudiannya bergerak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada IPD Gombak atas kerjasama menyediakan laluan serta tapak parkir di padang kawad bagi melancarkan perhimpunan.

Dalam pertemuan itu, penganjur turut membangkitkan isu melibatkan seorang individu yang didakwa telah dilaporkan sebanyak lapan kali. Dimaklumkan bahawa kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan pihak penganjur menyatakan akan terus memantau perkembangan kes tersebut.

Program berkenaan dianjurkan oleh wakil Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia yang menyifatkan kehadiran peserta sebagai bukti komitmen dan kesungguhan mereka menyuarakan pandangan secara aman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *