LEBIH BANYAK TAMU DESA AKAN DIBINA DI SABAH DAN SARAWAK TAHUN INI: EWON

KOTA BELUD, 2 Jun – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
(KUSKOP) akan membina lebih banyak premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak
tahun ini sebagai usaha meningkatkan kemudahan gerai luar bandar serta
memperkasa usahawan tamu.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata Kerajaan MADANI menerusi KUSKOP
menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk melaksanakan Projek
Pembangunan Premis Tamu Desa tahun ini.
Beliau berkata, ini termasuk tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta yang
diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Program
MADANI Rakyat (PMR) di Tawau bulan lalu.

“Tahun lalu, kita berjaya membina dan menaik taraf sebanyak 98 premis Tamu Desa
di seluruh Sabah dan Sarawak. Tahun ini, dengan peruntukan RM20 juta, saya
berharap jumlah yang sama atau lebih dapat dibina,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kaamatan
Kampung Pinasang Tamu Darat dan Pelancaran Premis Tamu Desa Tamu Darat, di
sini, hari ini.
Premis Tamu Desa di kampung berkenaan melibatkan kos sebanyak RM250,000 pula
dibina penghujung tahun lalu dan siap sepenuhnya tahun ini.