Lebih Besar, Lebih Meriah: The Mines Perkenal Game On Theme Park & Pelan Naik Taraf Eksklusif 2026

  • December 16, 2025
  • 3 min read
Lebih Besar, Lebih Meriah: The Mines Perkenal Game On Theme Park & Pelan Naik Taraf Eksklusif 2026

Seri Kembangan, 14 Disember 2025 — The Mines Shopping Mall (The Mines) terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi gaya hidup utama di Lembah Klang dengan memperkenalkan beberapa tarikan baharu, termasuk Game On Theme Park, antara taman tema dalaman terbesar di Selangor, serta pelan naik taraf menyeluruh yang dijadualkan bermula pada tahun 2026.

Pengumuman ini menandakan fasa baharu buat pusat beli-belah tersebut yang sejak sekian lama menjadi tumpuan keluarga dan komuniti sekitar.

Melalui pelaksanaan Asset Enhancement Initiative (AEI), The Mines merancang untuk menaik taraf kemudahan sedia ada dan memperkenalkan penawaran yang lebih segar, selari dengan perubahan gaya hidup pengguna masa kini. Perincian lanjut mengenai pelaksanaan AEI akan diumumkan kemudian.

Menurut Pengurus Besar The Mines, Alicia Yuen, pusat beli-belah itu sentiasa menyesuaikan diri dengan keperluan pelanggan dan komuniti setempat.

Katanya, kehadiran Game On Theme Park dan konsep-konsep baharu lain mencerminkan hala tuju The Mines untuk tampil sebagai destinasi yang bukan sekadar tempat membeli-belah, tetapi juga pusat hiburan dan riadah untuk semua lapisan masyarakat.

Antara tarikan utama yang mencuri perhatian ialah Game On Theme Park, sebuah taman tema dalaman berskala besar yang merangkumi keluasan lebih 70,000 kaki persegi dan menawarkan lebih 30 tarikan untuk pelbagai peringkat umur.

Taman tema ini direka untuk menarik keluarga, pengunjung tempatan, pelancong, serta kumpulan sekolah dan korporat yang mencari aktiviti santai dan interaktif.

Antara tarikan yang disediakan termasuk cabaran Ninja Obstacle setinggi 16 meter, zon permainan air, ruang aktiviti kreatif, bilik karaoke persendirian, serta arena permainan dan arked.

Selain itu, terdapat juga ruang khusus untuk sambutan hari jadi, aktiviti pembinaan pasukan dan acara berkumpulan.

Selain Game On Theme Park, The Mines turut memperkenalkan beberapa konsep runcit dan riadah baharu. Antaranya ialah Kin+Zo Land, tarikan bertemakan ladang seluas 25,000 kaki persegi yang dilengkapi zon permainan kanak-kanak dan litar go-kart, sekali gus menambah pilihan hiburan mesra keluarga di pusat beli-belah tersebut.

Bagi peminat gaya hidup aktif dan hobi, Q Pocket menawarkan pelbagai barangan koleksi popular, manakala Oxygym Fitness menyediakan kemudahan gimnasium dengan konsep premium pada harga yang berpatutan.

Pilihan makanan juga semakin bertambah dengan kehadiran jenama seperti Chagee, Auntea Jenny dan Wallace, di samping restoran sedia ada yang terus menjadi pilihan pengunjung seperti Nando’s, The Chicken Rice Shop, Esquire Kitchen dan DubuYo.

Sektor hiburan kekal menjadi tarikan utama The Mines menerusi kehadiran TGV Cinemas, Minexport dan Funscape by Cobay, manakala peminat sukan boleh mendapatkan pelbagai keperluan di kedai seperti Sport Planet, Gatti Sport, Original Classic dan Infinity Sport House.

Dengan gabungan pembukaan baharu dan pelan naik taraf yang dirancang, The Mines terus memperkukuh peranannya sebagai destinasi gaya hidup yang relevan dan mesra keluarga, sekali gus menjadi ruang pertemuan komuniti untuk beriadah, berhibur dan meluangkan masa bersama.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web rasmi dan platform media sosial The Mines. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *