Sungai Buloh, 9 Mac 2026 – Bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia, 211 Event Empire tampil menganjurkan Malam Citra Warisan Budaya pada 9 Mac 2026, jam 6.00 petang di Ballroom, Kelab Rahman Putra, sebagai inisiatif menyokong usaha mempromosi keunikan seni dan warisan budaya negara kepada masyarakat tempatan dan pelawat antarabangsa.

Program berkonsepkan gala kebudayaan ini mengetengahkan elemen tradisi Melayu dan kepelbagaian budaya Malaysia dalam suasana eksklusif dan penuh gemilang.
Penganjuran ini dilihat selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia yang menekankan kekuatan budaya, warisan dan identiti sebagai tarikan utama sektor pelancongan negara.


Menurut Ketua Pegawai Eksekurif 211 Event Empire Intan Madura, penganjuran malam tersebut bukan sekadar sebuah acara sosial, malah menjadi platform strategik memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya yang kaya dengan nilai sejarah dan tradisi.
“Warisan budaya adalah aset negara. Melalui Malam Citra Warisan Budaya, kami ingin menyumbang kepada promosi seni tradisi sebagai tarikan pelancongan, selaras dengan semangat Tahun Melawat Malaysia,” katanya.
Majlis ini dijangka menghimpunkan tokoh korporat, pemimpin komuniti, penggiat seni dan jemputan khas dalam satu suasana yang menggabungkan elemen persembahan tradisional, estetika warisan dan pengalaman gala bertaraf premium.
Dengan tema “Mengangkat Keindahan Tradisi, Menyatu Dalam Harmoni”, program ini turut memperlihatkan komitmen sektor swasta dalam menyokong agenda nasional memartabatkan budaya sebagai produk pelancongan berimpak tinggi.
Sebagai penganjur, 211 Event Empire terus komited menghasilkan acara beridentiti eksklusif yang mengangkat nilai budaya dan memperkukuh legasi warisan untuk generasi akan datang.



