MALAYSIA SERTAI ASIA-PACIFIC TELECOMMUNITY MINISTERIAL MEETING (APT-MM), FOKUS PERKUKUH KERJASAMA SERANTAU

Kerjasama serantau dalam bidang telekomunikasi dan ICT merupakan antara fokus Kerajaan MADANI di Asia-Pacific Telecommunity Ministerial Meeting (APT-MM) yang berlangsung di Tokyo, Jepun pada 30 dan 31 Mei 2025.
Bertemakan “Harnessing Emerging Technologies for Sustainable, Inclusive and
Equitable Digital Transformation in the Asia-Pacific”, mesyuarat peringkat tertinggi
APT diadakan pada setiap 5 tahun. Pada tahun ini, APT disertai 31 negara ahli serta
19 ahli gabungan terdiri daripada pihak kerajaan, pengawal selia dan agensi swasta
dari rantau Asia-Pasifik.

Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil melalui sesi bertajuk “Secure and Trusted
Digital Environment” telah berkongsi tentang usaha menyeluruh serta proaktif
Malaysia dalam membina persekitaran digital yang selamat dan dipercayai dengan
menekankan kepentingan perundangan keselamatan siber yang kukuh, kempen
keselamatan dalam talian, serta rangka kerja kawal selia bagi memastikan
akauntabiliti penyedia platform dalam talian.
Beliau turut menekankan keperluan melindungi golongan rentan seperti kanak-kanak dan warga emas serta menegaskan komitmen berterusan Malaysia untuk
bekerjasama di peringkat serantau ke arah membangunkan komuniti Asia-Pasifik
yang inklusif dan berdaya tahan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad
Fauzi bin Md Isa mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Senior Official Meeting
(SOM) pada 29 Mei 2025 yang turut disertai wakil-wakil dari Kementerian Komunikasi
serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
APT-MM kali ini juga bakal melancarkan “Ministerial Statement” dikenali sebagai
Tokyo Statement pada 31 Mei 2025 yang memberi penekanan terhadap enam (6)
keutamaan iaitu keterhubungan digital, inovasi digital dan keusahawanan,
kepercayaan dan keselamatan, keterangkuman digital dan pembangunan
kapasiti, kelestarian alam serta kerjasama serantau dan antarabangsa. Keenam-
enam keutamaan ini akan menggalakkan usaha peningkatan infrastruktur
telekomunikasi serta digital, di samping melindungi keselamatan siber dalam
memastikan akses digital yang inklusif.
Dalam pada itu, YB Datuk Fahmi juga dijadualkan hadir ke sesi pertemuan dan
beramah mesra bersama-sama diaspora, para pelajar, wakil kedutaan Malaysia di
Tokyo serta Pegawai Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) di Tokyo pada 31 Mei.
APT merupakan pertubuhan antara kerajaan yang beroperasi serta bekerjasama
dalam sektor pemberi khidmat telekomunikasi, sektor pembuatan peralatan
komunikasi termasuklah penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam bidang
telekomunikasi dan ICT.
Sebagai sebuah pertubuhan yang bersifat regional, APT memfokuskan wilayah Asia-
Pasifik dan keahlian APT terdiri daripada 38 buah negara ahli termasuk Malaysia,
empat (4) ahli bersekutu (associate members) dan 140 ahli gabungan (affiliate
members).
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Komunikasi