SEMENYIH, 28 Feb 2026 – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, Anita Entertainment & Productions sekali lagi membuktikan bahawa kasih sayang itu masih wujud dan terus menyala menerusi penganjuran program istimewa bertemakan “Masih Ada Yang SAYANG” di Pusat Jagaan Rumah Mahmudah Malaysia, Semenyih.



Program berbentuk Santai Selebriti Media & Bikers itu dianjurkan dengan kerjasama Pusat Jagaan Rumah Mahmudah Malaysia dan mendapat tajaan iftar daripada Restoran Siti Zubaidah (Cheras), F&N, EL Pasta serta Lan Lemang. Turut menyumbang dalam menjayakan misi kemanusiaan ini ialah Nesya Cookies.
Acara yang memasuki penganjuran kali ketiga di pusat jagaan tersebut merupakan sebahagian daripada Kempen Kembara Kemanusiaan Anita Entertainment yang telah berlangsung sejak tahun 2012 dan kini memasuki siri jelajah 2026.



Lebih 150 tetamu hadir memeriahkan majlis yang berlangsung dalam suasana penuh kasih dan kebersamaan. Kehadiran para selebriti, media dan komuniti bikers menambah warna dan kemeriahan acara.
Antara kelab motosikal yang turut serta menyemarakkan program ialah:
- Anita Bikers
- Iron Heart MC
- Wak Muji Bikers
- Predator Labuan
- Queen Rempit Crew
- Kental Crew
- Rempit Legacy


Deruman enjin yang biasanya gagah di jalan raya bertukar menjadi simbol solidariti dan kasih sayang apabila para bikers turun padang menyantuni penghuni warga emas.
Majlis turut diserikan dengan persembahan qasidah oleh kumpulan Banat Rusna yang dipimpin oleh Cikgu Fatimah bersama Cheb Ali Masnawi, menghidupkan suasana Ramadan dengan alunan yang menyentuh jiwa.
Turut hadir memeriahkan acara ialah penyanyi Azura Aziz, bakat baharu Mikail School Bands, Saiful atau Epul, serta komposer Nan Dengkil yang bersama-sama menghiburkan para penghuni dan tetamu.
Detik paling meruntun hati apabila salah seorang penghuni, Pakcik Nasir, tampil membuat persembahan nyanyian secara langsung. Suasana bertukar hening dan penuh emosi, membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus berkarya dan berkongsi rasa.
Selain persembahan, para tetamu turut mengambil peluang menziarahi dan menyantuni penghuni yang uzur serta yang terlantar sakit, menyemai mesej bahawa warga emas tidak harus dilupakan.


Program ini membawa mesej jelas – hargailah dan sayangilah ibu bapa selagi mereka masih ada.
Sempena Ramadan yang mulia ini, para selebriti, komuniti bikers dan penaja turut menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada penghuni pusat jagaan tersebut.
“Masih Ada Yang SAYANG” bukan sekadar nama program, tetapi simbol kasih yang terus hidup — menyatukan hiburan, kemanusiaan dan semangat komuniti dalam satu pentas penuh makna.



