MASPEDIA 2026 : BUKU Biografi Usahawan SME Pertama Malaysia Dilancar Secara Rasmi Di Negeri Sembilan

SEREMBAN – Malaysia mencatat satu lagi pencapaian bersejarah dalam pembangunan ekosistem keusahawanan apabila MASPEDIA 2026, buku biografi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (SME) pertama di negara ini, dilancarkan menerusi majlis Grand Soft Launch yang berlangsung penuh prestij di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan, pada 5 Februari 2026.

Penerbitan edisi pertama MASPEDIA 2026 ini merupakan satu inisiatif perintis yang mendokumentasikan perjalanan sebenar, cabaran serta kejayaan 100 usahawan SME terpilih dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, sekali gus menjadi rujukan penting kepada generasi usahawan masa depan.

Majlis tersebut dianjurkan oleh JC Scope Marketing, diasaskan oleh YBrs. Tuan G. Jaichandaran Gopala, yang juga merupakan peneraju utama projek penerbitan berimpak tinggi ini.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YB Tuan Veerapan Superamaniam, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Kerajaan Negeri Sembilan. Turut hadir memberi ucapan ialah YB Tuan B. Raffan Subramaniam, Exco Kerajaan Negeri Sembilan, yang mewakili kepimpinan kerajaan negeri.

Dalam ucapannya, YB Tuan Veerapan Superamaniam merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan dan menyifatkan penerbitan MASPEDIA sebagai satu usaha yang amat signifikan bukan sahaja kepada usahawan di Negeri Sembilan, malah kepada komuniti SME di seluruh negara.

“ini menghimpunkan kisah kejayaan 100 usahawan SME yang boleh dijadikan panduan, inspirasi dan rujukan kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan, khususnya dalam sektor IKS dan PMKS,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan pemilihan Negeri Sembilan sebagai lokasi pelancaran rasmi, bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Negeri Sembilan, sekali gus membantu mempromosikan negeri ini sebagai hab keusahawanan yang progresif.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi inisiatif kerajaan negeri dalam menyokong pembangunan usahawan tempatan, termasuk program bantuan dan geran terdahulu seperti TUNS, Tun Plus serta matching grant, selain pendekatan baharu yang memberi fokus kepada aspek pemasaran produk usahawan.

Antara perancangan yang diumumkan termasuk penubuhan galeri usahawan tempatan di Bandar Seremban serta peluasan platform pemasaran di lokasi strategik seperti pusat beli-belah, bagi memastikan produk usahawan Negeri Sembilan dapat dipamer dan dipasarkan secara meluas kepada pelawat dan pengguna.

Ybrs.Tuan G.Jaichandaran Gopala
Founder JC Scope Marketing

Sementara itu, MASPEDIA 2026 disifatkan sebagai sebuah penerbitan berwibawa yang bukan sekadar merakam kejayaan, malah menjadi medium pemerkasaan usahawan melalui perkongsian pengalaman sebenar dan impak nyata terhadap ekonomi negara.

Penerbitan ini dijangka menjadi rujukan penting dalam membentuk landskap keusahawanan Malaysia yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *