Menu Rahmah Jadi Tumpuan di Bazar Ramadan, Bantu Ringankan Beban Rakyat

JOHOR BAHRU – Program Bazar Ramadan Rahmah terus mendapat sambutan menggalakkan apabila inisiatif Menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah menjadi pilihan utama orang ramai sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata beliau sendiri turun padang meninjau suasana di Bazar Ramadan Rahmah di Johor Bahru bagi melihat keberkesanan pelaksanaan program tersebut.


Menurut beliau, sebanyak 116 lokasi Bazar Ramadan Rahmah dianjurkan di seluruh negara tahun ini dengan penglibatan kira-kira 3,000 peniaga yang menawarkan Juadah Rahmah sebagai pilihan makanan berbuka puasa pada harga mampu milik.
Katanya, inisiatif itu bertujuan membantu rakyat mendapatkan makanan berkualiti pada harga berpatutan, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.


“Kementerian turut memperkenalkan pelbagai insentif kepada pengusaha Menu Rahmah, termasuk kad diskaun khas bagi pembelian bahan mentah supaya peniaga dapat terus menawarkan harga rendah tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.


Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian di lapangan, Menu Rahmah dilihat benar-benar menjadi tumpuan pengunjung bazar apabila ramai yang mencari gerai bertanda Rahmah terlebih dahulu sebelum membeli juadah lain.


Tambahnya, sambutan yang diterima menunjukkan Menu Rahmah bukan lagi sekadar pilihan tambahan, sebaliknya telah menjadi satu keperluan kepada ramai keluarga untuk berjimat sepanjang Ramadan.


Inisiatif Bazar Ramadan Rahmah dijangka terus diperluaskan dari semasa ke semasa bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *