Kuala Lumpur, 20 Februari 2026 – “Cinta pertama mungkin tak pernah benar-benar hilang, ia cuma
menunggu saat untuk melukai semula.” Itulah premis yang menjadi tunjang kepada Khianat Yang
Terpilih, terbitan Mache Allstar dan arahan Ejump Mohd, sebuah naskhah yang mengangkat gelora
cinta terlarang serta persoalan paling getir; apabila kenangan lama kembali menyala dan cinta
terlarang diuji, mampukah hati menanggung akibatnya?


Dibintangi Ben Amir, Amyra Rosli, Ikmal Amry, Puteri Aishah, Ainina Ahmad dan Erin CTJ, siri 30
episod ini bakal menemui penonton bermula 26 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58
petang di slot Akasia TV3.
Kisahnya berkembang daripada cinta pertama Ali (Ben Amir) dan Asmida (Puteri Aishah) yang terhenti
sejak zaman universiti, sebelum kembali berputik tanpa dirancang apabila masing-masing telah
membina kehidupan sendiri. Ali kini bergelar suami kepada Waheeda (Amyra Rosli) serta bapa kepada
seorang anak yang mengalami ‘speech delay’, Afeeya. Dalam masa yang sama, Asmida pula
menjalani perkahwinan yang tidak sehaluan bersama Fahim (Ikmal Amry).
Takdir mempertemukan mereka semula apabila Ali mengambil alih tanggungjawab menjaga Afeeya
dan mendaftarkannya di sekolah tempat Asmida mengajar. Pertemuan yang pada awalnya tampak
biasa itu tanpa sedar membuka kembali lembaran lama yang belum tertutup, lalu perlahan-lahan
mencetuskan pergolakan perasaan yang sukar dibendung.
Di titik inilah kesetiaan dan tanggungjawab mula diuji. Setiap langkah membawa risiko, dan setiap
keputusan hadir dengan harga yang perlu dibayar. Peluang kedua mungkin kelihatan indah, namun
tidak semua yang kembali itu menjanjikan kebahagiaan, ada yang hanya merumitkan keadaan.
Menurut Ben Amir, “Ali adalah watak yang kompleks kerana dia harus mengimbangi tanggungjawab
sebagai suami dan bapa dengan godaan nostalgia cinta pertama. Membawa watak ini mengajar saya
tentang konflik dalaman, penyesalan dan bagaimana satu keputusan mampu memberi kesan bukan
sahaja kepada dirinya, tetapi kepada semua di sekelilingnya.”
Sarat dengan konflik, pengkhianatan dan penyesalan, Khianat Yang Terpilih menyelami dilema hati,
runtuhnya kepercayaan serta impak mendalam terhadap perkahwinan dan kehidupan setiap watak.
Saksikannya bermula 26 Februari 2026 ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 petang di slot
Akasia TV3



