MUAT NAIK KANDUNGAN PALSU DAN JELIK: 8 LAGI INDIVIDU DIAMBIL KETERANGAN

  • February 15, 2025
  • 1 min read
MUAT NAIK KANDUNGAN PALSU DAN JELIK: 8 LAGI INDIVIDU DIAMBIL KETERANGAN

CYBERJAYA, 15 Februari 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan lapan (8) individu kerana memuat
naik kandungan bersifat palsu dan jelik terhadap Insititusi Diraja, khususnya
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan
Majlis Raja-Raja.

Berdasarkan laporan yang dibuat, pasukan penyiasat MCMC membuka kertas
siasatan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta
588], dan telah mengambil tindakan merakam keterangan individu-individu
yang terlibat melalui lapan (8) operasi pemeriksaan di enam (6) buah Negeri
(Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis dan Pahang), kelmarin.

Melalui operasi yang dijalankan, lapan (8) unit telefon pintar dan lapan (8) unit
kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan. Analisis
forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan
keterangan bagi membuktikan kes.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
1998 [Akta 588] (sebelum pindaan) yang memperuntukkan hukuman denda
maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai adalah diingatkan untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab
semasa memuat naik sebarang kandungan di media sosial dan perkhidmatan
pesanan Internet dan tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi
dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan berunsur palsu dan
kebencian, yang bertentangan dengan nilai dan norma budaya masyarakat
majmuk di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *