Musang Valley Plantation (MVP) teraju perladangan pintar terbesar Malaysia, meterai MoU dengan KOMAJU
Kuala Lumpur – Memorandum Persefahaman (MoU) dimaterai di antara KOMAJU dan Tiga Rakan Strategik iaitu Musang Valley Plantation Sdn Bhd (MVP), RCPAY Limited Dan Collateral Hub Sdn Bhd di Menara MATRADE, Kuala Lumpur hari ini.
Kerjasama ini bermatlamat untuk membangun, memasar dan memberikan khidmat nasihat bagi pembangunan produk serta perkhidmatan konsultasi bersama.
Ini bertepatan dengan peranan KOMAJU iaitu untuk memasarkan produk-produk dan perkhidmatan bagi meneroka pasaran eksport sekaligus mengembangkan pasaran domestik.
Sementara itu, Musang Valley Plantation (MVP) adalah syarikat perladangan durian pintar terbesar di Malaysia. Dengan lebih daripada 20 tahun pengalaman dalam industri menjadikan syarikat ini terkemuka dalam tanah air.
Profil syarikat menunjukkan pemilikan ladang durian dengan keluasan tanah 2,710 ekar di Gua Musang serta melebihi 76,000 batang pokok durian pelbagai jenis terutama sekali “Musang King” dan “Black Thorn”.
Selain negara Singapura yang merupakan pengimport tertinggi hasil durian, negara-negara lain seperti China, Hong Kong, Australia dan US juga mengimport hasil durian dari Malaysia.
Selain itu, Collateral Hub membangunkan sebuah platform digital barangan emas yang semakin mendapat perhatian dan berkembang. Melalui platform ini, pembeli yang berminat untuk membeli emas boleh memilih dan membuat tempahan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Manakala RCPAY Limited merupakan satu platform kerjasama yang menawarkan penyelesaian fintech antarabangsa dan domestik berjenama kepada pelanggan korporat dan PKS (mikro, kecil dan sederhana) dengan sasaran khusus untuk mencapai 5,000 pengguna kad untuk ASEAN.
Dengan kerjasama ini diharap dapat melonjak KOMAJU dari sebuah koperasi mikro kepada kumpulan 100 koperasi terbaik di Malaysia. Langkah ini adalah permulaan yang akan membolehkan koperasi mempelbagaikan bidang perniagaan demi bersaing dalam pasaran yang mencabar dan kompetitif.
Pemeteraian MoU ini juga menunjukkan bahawa KOMAJU sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak, tidak tertakluk kepada hanya dengan koperasi malahan dengan syarikat swasta juga.
Dengan adanya MoU seumpama ini sekaligus dapat melaksanakan projek perniagaan berimpak tinggi untuk memacu kelestarian koperasi untuk terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.