MyCar Hulur Bantuan Kotak Makanan kepada Mangsa Kebakaran di Putra Heights

  • April 21, 2025
  • 2 min read
MyCar Hulur Bantuan Kotak Makanan kepada Mangsa Kebakaran di Putra Heights

PUTRA HEIGHTS – Syarikat perkhidmatan e-hailing tempatan, MyCar, tampil menghulurkan bantuan dalam bentuk kotak makanan asas kepada mangsa-mangsa kebakaran di kawasan perumahan KPSP, Putra Heights.

Pegawai Eksekutif MyCar, Datuk Noor Sheena Maideen menyerahkan sumbangan kotak makanan kepada mangsa kebakaran, Putra Heights

Program penyerahan bantuan ini disambut baik oleh pemimpin tempatan yang turut hadir bagi menyampaikan penghargaan kepada pihak MyCar atas inisiatif murni mereka.

“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MyCar dan Datuk Noor Sheena Maideen kerana sudi menghulurkan bantuan kepada penduduk di sini.

Ini satu usaha yang sangat bermakna dan saya berharap lebih banyak syarikat tampil ke hadapan dalam membantu komuniti,” kata YB Puan Yeo Bee Yin, Ahli Parlimen Puchong.

YB Tuan Ng Sze Han, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, turut menyatakan rasa penghargaan beliau terhadap sumbangan yang diberikan.

“Kita amat berterima kasih kepada pihak MyCar dan Datuk Sheena yang telah mengambil inisiatif ini. Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban mangsa-mangsa kebakaran yang memerlukan barangan asas seperti makanan, peralatan dapur, tilam, dan perabot,” ujarnya.

Beliau turut menyeru lebih banyak syarikat korporat di seluruh Malaysia untuk tampil ke hadapan membantu mereka yang terkesan dalam situasi bencana.

Menurut Datuk Noor Sheena Maideen, Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, walaupun bantuan yang diberikan mungkin tidak sebesar mana, ia tetap disampaikan dengan rasa prihatin dan semangat perpaduan.

“MyCar sangat berbesar hati dapat menyumbang kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Kita satu Malaysia, dan kita bantu sesama rakyat,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa walaupun syarikat MyCar berfokus kepada perkhidmatan e-hailing, keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat tetap menjadi keutamaan mereka.

Tambahan pula, terdapat juga pemandu e-hailing yang tinggal di kawasan tersebut dan turut menjadi mangsa kejadian.

Program ini membuktikan bahawa kerjasama antara sektor swasta dan masyarakat mampu memberikan impak positif kepada mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam situasi kecemasan seperti kebakaran baru-baru ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *