NGO GESA SPRM & PDRM SIASAT AHLI PARLIMEN RAUB BERHUBUNG PENCEROBOHAN TANAH NEGERI PAHANG

Kuala Lumpur – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa siasatan segera dijalankan terhadap YB Tuan Chow Yu Hui, Ahli Parlimen Raub, yang didakwa terlibat dalam isu pencerobohan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal di daerah tersebut.

Menurut wakil jurucakap NGO, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) pihaknya menerima maklumat bahawa seluas 14,508 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan ditanam dengan pelbagai tanaman termasuk sawit, getah, dan durian. Selain itu, sebanyak 5,937 hektar kawasan hutan simpan kekal turut terjejas akibat aktiviti pencerobohan tersebut.

“Kami menerima maklumat yang jelas daripada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang berkenaan pencerobohan tanah di Raub. Lebih mengejutkan, terdapat dakwaan bahawa YB Chow Yu Hui mempertahankan pencerobohan ini atas nama ‘perjuangan’ kononnya untuk rakyat,” katanya.
NGO tersebut menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen berkenaan sebagai satu cubaan mencabar kedaulatan negeri dan menimbulkan kemarahan rakyat serta institusi diraja.

“Jika benar beliau berani mempertikaikan titah Tuanku Sultan, kami tidak teragak-agak untuk mendesak agar beliau dihalau dari negeri Pahang. Ini bukan isu politik, ini isu kedaulatan dan undang-undang,” tegasnya.
Sehubungan itu, NGO terbabit menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap hasil jualan pertanian bernilai jutaan ringgit daripada kawasan yang diceroboh tersebut, serta kemungkinan wujudnya penglibatan dalaman termasuk penjawat awam.
“Adakah mereka membayar cukai? Adakah mereka memperoleh lesen sah? Ini semua perlu dijawab. Jangan lindungi penceroboh yang meraih keuntungan atas tanah milik kerajaan,” ujarnya.
NGO turut merakamkan penghargaan terhadap usaha berterusan Kerajaan Negeri Pahang dan polis negeri, yang bertindak tegas dalam menangani isu ini. Peningkatan hasil negeri melebihi RM1 bilion setahun sejak tiga tahun lalu membuktikan kecekapan pentadbiran semasa.
Menurut Datuk Ridzuan Abdullah, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, telah menunjukkan kepimpinan cemerlang dalam pembangunan ekonomi negeri, termasuk usaha menambah keluasan tanah rizab Melayu daripada 218,326 hektar pada tahun 1955 kepada 444,074 hektar pada masa ini.
“Kita harus bersama-sama mempertahankan negeri ini daripada tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. NGO akan terus memantau dan bersuara demi kebenaran,” katanya menutup kenyataan.