MyDesa pertingkat keupayaan modal insan JPKKOA

  • May 14, 2022
  • 2 min read
MyDesa pertingkat keupayaan modal insan JPKKOA

Bangi, 14 APRIL – Program MyDESA akan sentiasa dipertingkat bagi mengukuhkan keupayaan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) bagi memastikan kebajikan masyarakat orang asli di Malaysia dipelihara.

Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri 1, Pembangunan Luar Bandar berkata menerusi MyDESA, kementeriannya akan memastikan modul latihan terkini dapat diaplikasikan selaras dengan aspirasi dan fokus negara terutama ke arah pendigitalan.

”MyDESA merupakan program latihan khusus untuk Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta turut melibatkan JPKKOA dalam memantapkan peranan dan tugas JPKKOA menerusi pembelajaran secara bersemuka dan sesi latihan di Institut Kemajuan Desa (INFRA).

”Selain itu, kemudahan infrastruktur asas masyarakat orang asli termasuk ameniti sosial diperluas, serta pembangunan modal insan dan peningkatan kadar pendapatan masyarakat tersebut turut diberi tumpuan.

Sebanyak RM 274 juta peruntukkan dalam Bajet 2022 disediakan bagi komuniti orang asli sekaligus diyakini mampu melaksanakan agenda pembangunan dan kemajuan masyarakat luar bandar melalui KPLB dan JAKOA – agensi yang diyakini dapat merealisasikan agenda kerajaan ini”, kata Abdul Rahman.

”Sehingga kini, terdapat sejumlah 276 JPKKOA di seluruh negara yang berperanan sebagai jawatankuasa yang mengurus dan melaksanakan pembangunan, kemajuan dan keselamatan kampung.

Selain itu, JPKKOA ini merupakan perantara komuniti masyarakat orang asli dan pihak kerajaan dalam menyalurkan sebarang maklumat atau aduan daripada komuniti tersebut”, ujar Abdul Rahman lagi.

Beliau menambah, penubuhan JPKKOA dan kebajikan masyarakat ini adalah selaras dengan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Terhadap Hak Orang Asal/Asli atau The United Nations Declaration on the Right of Indigenous Peoples (UNDRIP) yang telah dipersetujui Malaysia di Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2007.

”KPLB amat menyokong pelaksanaan lebih banyak latihan pengukuhan modal insan kepada masyarakat orang asli diberikan selaras dengan perkembangan teknologi pendigitalan negara termasuk dalam persediaan negara untuk memasuki fasa endemik”, ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kursus MyDESA JPKKOA Negeri Pahang di sini hari ini.

Turut hadir, Puan Hajah Sapiah Mohd Nor, Ketua Pengarah JAKOA.

Pada majlis tersebut, Abdul Rahman turut menyampaikan replika Cek Elaun kepada Pengerusi dan Setiausaha JPKKOA Negeri Pahang Tahun 2022 yang berjumlah RM 1.29 juta ringgit.

Seramai 60 orang peserta terdiri daripada Pengerusi dan Setiausaha JPKKOA Negeri Pahang pada program selama 3 hari 2 malam yang yang bermula pada 13 sehingga 15 Mei 2022.

  • TAMAT –

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *