PUTRAJAYA: Aplikasi MyGOV Malaysia mencatat lebih 1 juta muat turun sejak pelancaran versi beta pada 27 Februari 2025, sekali gus mencerminkan sambutan positif rakyat terhadap usaha pendigitalan perkhidmatan awam.
Platform berkenaan kini menyediakan 38 perkhidmatan melibatkan 13 agensi kerajaan, merangkumi semakan maklumat serta pautan terus kepada perkhidmatan berkaitan, termasuk urusan permohonan dan pembayaran yang kerap digunakan.
Menurut kenyataan, MyGOV Malaysia berfungsi sebagai penyatu ekosistem perkhidmatan kerajaan tanpa menggantikan aplikasi sedia ada, dengan integrasi dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keperluan dan corak penggunaan rakyat.
Seiring usaha meningkatkan pengalaman pengguna, Kementerian Digital turut meneroka penggunaan AI Agentik (Agentic AI) bagi mempertingkat kecekapan, menjadikan perkhidmatan lebih pintar, proaktif dan mesra pengguna, di samping mengurangkan kerumitan birokrasi digital.
Selain itu, program Citizen Labs akan diperluaskan ke seluruh negara bagi membolehkan rakyat terlibat secara langsung dalam proses maklum balas dan penciptaan bersama, memastikan MyGOV Malaysia kekal relevan.
Kerajaan MADANI menyasarkan MyGOV Malaysia sebagai “Single Gateway” yang dipercayai rakyat, menghubungkan rakyat dan kerajaan tanpa batasan masa serta tempat.



