KUALA LUMPUR: Bayaran balik cukai pada 2025 mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh lima tahun, dipacu oleh tambahan peruntukan RM7.5 bilion yang dibayar pada Disember lalu, melebihi anggaran awal RM4 bilion.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menyelesaikan bayaran balik berjumlah RM22.45 bilion kepada kira-kira 3.6 juta pembayar cukai sepanjang 2025.
Menurut MOF, bagi tahun ini LHDN memberi keutamaan kepada bayaran balik cukai syarikat bagi tahun taksiran 2023 yang dijadualkan selesai pada suku pertama 2026, manakala bayaran balik bagi tahun taksiran 2024 akan diselesaikan menjelang hujung 2026. Bagaimanapun, bayaran balik lebihan cukai bagi pembayar cukai individu akan dilaksanakan tanpa mengira tempoh tunggakan kes.



