Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengkoordinasi satu
operasi penguatkuasaan bersepadu bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM),
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Eastern Sabah Security
Command (ESSCOM) pada 9 dan 10 April 2026 di sekitar Kota Kinabalu, Tawau
dan Semporna, Sabah.
Operasi bersasar ini adalah hasil aktiviti risikan selama beberapa bulan dan
memberi fokus kepada kesalahan yang boleh disabitkan di bawah Akta Industri
Pelancongan 1992 [Akta 482], Akta Cukai Pendapatan 1967 [Akta 53] dan lain-lain
perundangan berkaitan. Antara kesalahan tersebut termasuklah beroperasi tanpa
lesen yang sah, gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan, berurus niaga dengan
pihak yang tidak berlesen, menjadi proksi kepada entiti asing yang disyaki dan gagal
mengisytihar atau membuat pengisytiharan palsu cukai pendapatan.
Sebanyak 13 premis perniagaan dan 11 individu telah diperiksa sepanjang tempoh
operasi. Pegawai penguat kuasa MOTAC telah mengeluarkan 7 notis pemeriksaan
atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 482 termasuk 2 notis kerana menjalankan
perniagaan pelancongan tanpa lesen yang sah dan 2 notis kerana berurus niaga
dengan entiti tidak berlesen. Siasatan lanjut akan diteruskan sebelum tindakan
perundangan diambil terhadap kesalahan yang melibatkan entiti, pemilik dan pihak
yang berkaitan.
MOTAC memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang tidak berlesen
untuk tidak menyediakan perkhidmatan pelancongan meliputi pengangkutan,penginapan atau penganjuran aktiviti pelancongan sama ada secara dalam talian,
media sosial, fizikal atau melalui medium lain. Jika disabitkan kesalahan, pihak
terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM500,000.00 atau penjara sehingga 10
tahun atau kedua-duanya di bawah Akta 482.
MOTAC juga mengingatkan semua penggiat industri pelancongan berlesen supaya
tidak berurus niaga dengan mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan
pelancongan secara tidak sah, tidak berlesen atau menggunakan kenderaan yang
bukan dilesenkan untuk tujuan pelancongan oleh pihak berkuasa. MOTAC tidak
akan berkompromi dalam memastikan keselamatan pelancong, dan tindakan
undang-undang akan diambil sekiranya berlaku sebarang insiden atau pelanggaran
peraturan.
Penguatkuasaan undang-undang secara menyeluruh dan berkesan akan diteruskan
melalui kerjasama rentas agensi sejajar dengan prinsip tadbir urus baik, keadilan
dan keyakinan di bawah kerangka Malaysia MADANI. Orang ramai dan penggiat
industri turut dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat tentang aktiviti
pelancongan yang disyaki melanggar peraturan melalui saluran Sistem Pengurusan
Aduan Awam (SISPAA) (https://motac.spab.gov.my/eApps/system/index.do).
MOTAC kekal komited dalam memastikan industri pelancongan negara terus
berkembang secara mampan dan selamat demi kesejahteraan pelancong serta
memelihara imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.



