PakarHR rai syarikat cemerlang, berjaya tamatkan Program Mentoring
Kuala Lumpur – Sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada pencapaian cemerlang oleh 20 buah syarikat yang telah berjaya mengikuti program Mentoring dalam program PakarHR, sebuah majlis apresiasi penuh gilang-gemilang diadakan pada 20 Disember 2023 bertempat di Grand Banquette Hall, UTM Hotel & Residence.
Program PakarHR Appreciation Dinner ini berlangsung untuk meraikan semua usahawan yang berjaya terdiri daripada pelbagai latar belakang perniagaan sama ada penghasilan produk ataupun syarikat yang menawarkan perkhidmatan.
Sementara itu, program ini dirasmikan oleh YB Mohd Sany Hamzan, Ahli Parlimen Hulu Langat merangkap Timb Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Nasional (TEKUN). Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Datuk Nik Hasyudeen Bin Yusoff, Pengarah Bank Islam Malaysia Berhad dan Datuk Samsul Bin Husin, CEO SAGA Cloud Sdn Bhd.
Syarikat PakarHR ini telah diusahakan secara bersama oleh pasangan suami isteri, Tuan Hisham Wahab dan Puan Salwa Azlan iaitu sebuah Syarikat penyedia latihan dan konsultasi sejak 2017. Sejak penubuhan PakarHR, syarikat itu telah menyediakan perkhidmatan kepada lebih 2530 pelanggan SME dan korporat, dan kira-kira 30,000 peserta program telah mendapat manfaat daripada inisiatif PakarHR.
Antara program-program yang ditawarkan termasuklah seminar dalam talian dan secara face-to-face mengenai pengurusan pekerja dan pembinaan pasukan, program konsultasi untuk perusahaan korporat dan SME, dan program teambuilding untuk NGO, syarikat-syarikat dan agensi kerajaan.
Apabila COVID-19 melanda pada tahun 2020, PakarHR memutuskan untuk memindahkan model programnya kepada dalam talian. Hasilnya, program Mentoring PakarHR telah diwujudkan. Menerusi program Mentoring, usahawan yang menyertai program yang dinamakan Masterpiece Of Team A+ (MATA+) ini akan mengikuti program bimbingan selama 12 bulan.
Pada setiap bulan, pemilik perniagaan akan mengambil bahagian dalam kursus dalam talian selama dua hari diikuti dengan tugasan yang mesti diselesaikan dan seterusnya dinilai oleh pakar HR. Melalui modul ini, usahawan diajar cara bagi mengurus ahli pasukan dan pekerja dengan berkesan serta mematuhi semua peraturan dan undang-undang.
“Kalau untuk mentoring program, kami biasanya buat setahun atau dua belas bulan. Jadi, dalam setahun tu, dalam sebulan, kami ada dua modul. Maksudnya ada 24 modul, 12 modul adalah untuk membina sistem dalam syarikat, 12 modul lagi adalah untuk membina leadership dalam syarikat.
“Sebab apa kami gabungkan dua ini. Kerana, sebelum ini, program mentor ini sudah berjalan selama 4 tahun, sebelum pkp lagi. Dua tahun pertama, kami fokus kepada membina sistem. Tetapi sayangnya, kami dapati beberapa syarikat mempunyai loophole di leadership skill,” kata Puan Salwa.
“Jadi kami kaji dan buat pengetahuan semua, setiap modul yang kami buat, kami akan panggil tiga expert yang ada expertise, yang pertamanya daripada kami sendiri yang memang direct dari PKS, sebab memang tak ada guru, tak ada buku yang ajar direct tentang PKS. Pihak yang kedua kami akan panggil dari syarikat korporat sebab mereka ini ialah mereka yang expert dalam membangunkan team dalam skala yang besar. Yang ketiga, dari pihak universiti sendiri”, ujarnya.
Menurut beliau, rujukan daripada pakar akan diambil kira terlebih dahulu supaya modul ini betul-betul berkesan.
Pada tahun berikutnya, PakarHR mempertingkatkan modul Pementoran PakarHR dengan melancarkan Leadership Accelerator Program (LEAP) yang bermatlamat menyokong pembangunan kepimpinan dan pemantapan kemahiran sebagai pemimpin.
Program ALPHA Mentoring yang lebih memfokuskan kepada pertumbuhan organisasi dan perancangan strategi perniagaan telah dilancarkan oleh PakarHR baru-baru ini. Lebih daripada 200 usahawan telah mendapat manfaat daripada program bimbingan ini dan menunjukkan prestasi perniagaan yang semakin berkembang.
Sokongan dalam talian seperti Whatsapp group juga diberikan kepada usahawan yang terlibat bertujuan bagi memudahkan para usahawan mendapat akses dan sumber rujukan supaya mereka dapat membuat keputusan dengan cepat dan tepat secara bijak.
Tahniah kepada semua penerima anugerah! Semoga pengiktirafan ini akan memberi inspirasi dan motivasi kepada mereka untuk melangkah lebih jauh lagi pada masa hadapan.