PASKAD Anjur Program Singgah Sahur, Erat Hubungan dengan Agensi Kerajaan

Sungai Buloh, 24 Mac 2025 — Dalam usaha merapatkan hubungan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan, Pertubuhan Skuad Khidmat Darat, Laut dan Udara (PASKAD) dengan kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Paya Jaras telah menganjurkan Program Singgah Sahur awal pagi tadi.



Seramai 10 ahli jawatankuasa PASKAD yang merupakan barisan kepimpinan baharu telah turun padang menyantuni barisan hadapan yang bertugas semasa umat Islam bersahur, termasuk anggota bomba di Balai Bomba Sungai Buloh, pegawai polis di IPD Sungai Buloh dan petugas kesihatan di Hospital Sungai Buloh.
Menurut Tuan Mohammad selaku presiden PASKAD, program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyampaikan juadah sahur kepada para petugas, malah lebih utama, ia menjadi medan untuk membina hubungan erat antara NGO dan agensi-agensi kerajaan.
“Kadang-kadang, jurang antara NGO dan agensi kerajaan menyebabkan kesukaran dalam melaksanakan kerja kebajikan. Melalui program seperti ini, kami dapat membina kepercayaan dan menjalin kerjasama lebih erat,” katanya.


Beliau turut menyatakan bahawa selepas mesyuarat agung pada 15 Februari lalu, barisan kepimpinan baharu PASKAD kini giat merancang pelbagai aktiviti kebajikan demi memastikan pertubuhan ini kekal relevan dan terus memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kami bukan sahaja terdiri daripada bekas tentera, malah turut melibatkan bekas polis, penjawat awam dan orang awam yang berminat dalam kerja-kerja kebajikan. Fokus kami adalah menjadi pemudah cara antara masyarakat dan agensi kerajaan seperti JKM, Zakat dan pihak berkuasa tempatan,” Tn Mohammad.
Dalam masa terdekat, barisan kepimpinan baharu ini merancang untuk menjelajah ke seluruh negara bagi bertemu dengan ahli-ahli PASKAD dan memberi penerangan berkenaan misi, visi serta peranan pertubuhan ini dalam memperjuangkan kebajikanx masyarakat.

“Kami mahu PASKAD menjadi pusat rujukan komuniti dan menjadi mata serta telinga kepada kerajaan dalam menyampaikan isu-isu rakyat di peringkat akar umbi.”
Program ini turut menjadi simbolik permulaan kepada gerakan lebih aktif PASKAD dalam memacu agenda kebajikan secara inklusif dan menyeluruh di seluruh negara.


