Peguam Jelaskan Kehadiran Nicky Liow di Majlis PM, Dakwa Isu Dipolitikkan

PUCHONG – Peguam kepada ahli perniagaan, Nicky Liow Soon Hee menegaskan anak guamnya tidak wajar dijadikan sasaran dalam polemik politik susulan penularan gambar beliau memakai baju Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan bergambar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nicky

Datuk Rajpal Singh berkata, Nicky hanya menghadiri satu majlis kutipan dana PKR sebagai orang awam selepas menerima jemputan terbuka melalui sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bukannya sebagai tetamu khas atau individu yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.


Menurutnya, sesi bergambar itu berlaku secara terbuka selepas ucapan Perdana Menteri apabila orang ramai dibenarkan memasuki kawasan berkenaan, sekali gus memberi peluang kepada ramai hadirin bergambar termasuk Nicky.
Beliau turut menjelaskan Nicky menerima baju-T AMK selepas membuat sumbangan dalam tabung yang disediakan penganjur dan memakainya tanpa menyangka ia akan mencetuskan kontroversi.


Rajpal menegaskan anak guamnya hadir sebagai rakyat biasa dan berhak menyertai program serta bergambar dengan pemimpin negara seperti mana-mana warganegara lain.
Mengulas rekod perundangan Nicky, beliau berkata kes di bawah SOSMA sebelum ini telah berakhir dengan pembebasan oleh Mahkamah Tinggi, manakala rayuan pendakwaan turut ditarik balik.
Bagi pertuduhan di bawah AMLA pula, Rajpal menjelaskan ia berkaitan isu pengisytiharan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bukannya penipuan atau sindiket Macau Scam seperti yang sering didakwa. Kes tersebut akhirnya diberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas perkara berkenaan diselesaikan.


Katanya, Nicky kini tidak lagi berdepan sebarang siasatan atau berstatus individu dikehendaki dan hanya mahu meneruskan kehidupan sebagai rakyat Malaysia biasa.
Pada masa sama, pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwa menyebarkan fitnah berkaitan anak guamnya. Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh mengesahkan Nicky bukan ahli parti itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *