PEKERJA MAUT TERJATUH DARI TEMPAT TINGGI
Banting, 29 Disember 2023 – Satu kemalangan telah dilaporkan berlaku pada 27
Disember 2023 lebih kurang 2.20 petang, di sebuah kilang kertas kitar semula yang
terletak di Banting, Selangor. Kemalangan yang berlaku melibatkan seorang pekerja
lelaki warganegara, 22 tahun, yang maut akibat terjatuh dari tempat tinggi. Sehubungan
dengan itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor telah
mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan, sebaik
menerima maklumat mengenai kejadian tersebut yang tular di media sosial.
Daripada siasatan awal yang dijalankan, JKKP Selangor mendapati bahawa mangsa
bersama seorang rakan telah ditugaskan untuk kerja-kerja pembersihan di bahagian
pully pada mesin solid fuel conveyor secara manual iaitu dengan menggunakan shovel.
Ketika kejadian, shovel dan badan mangsa tersangkut di antara pully dan tali sawat
(belting) conveyor yang sedang beroperasi. Lalu menyebabkan mangsa tertarik dan
berpusing pada pully dan terjatuh ke bawah melalui sebuah lubang belting tensioner
yang berada bersebelahan dengan pully tersebut. Mangsa terjatuh dari ketinggian lebih
kurang 24 meter daripada aras lantai. Mangsa dikejarkan ke hospital dan disahkan
meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Susulan daripada siasatan tersebut, JKKP Selangor telah mengeluarkan notis
larangan serta merta di atas kegagalan pihak majikan untuk memastikan setakat yang
praktik ke atas sistem kerja selamat sehingga berlakunya kemalangan, termasuk
arahan larangan kacau ganggu di kawasan kemalangan. Dua (2) notis pembaikan
juga, turut dikeluarkan di atas kegagalan majikan memasang penghadang pada
bahagian berputar bagi mesin solid fuel conveyor dan kegagalan mengadakan
interlocking dan sistem lockout–tagout (LOTO) pada mesin solid fuel conveyor. Di
samping itu, surat arahan juga, dikeluarkan kepada majikan bagi menjalankan
penaksiran semula terhadap risiko bagi kerja-kerja pembersihan di seluruh kawasan
mesin solid fuel conveyor. Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti puncapunca
kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan tersebut.
JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang
bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. JKKP memandang serius setiap
kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan
penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja. Majikan bertanggungjawab untuk
mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian
risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja
menjalankan aktiviti kerja. Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja
dan mengelakkan berlakunya kemalangan. Adalah menjadi tanggungjawab majikan
untuk melaporkan kemalangan maut yang berlaku dengan serta merta ke JKKP
dengan cara yang paling cepat seperti mana yang termaktub dalam Peraturan 5 (1),
Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai
Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan)
2004.
Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan
kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis
Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko
(HIRARC).
#