Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di kawasan sekolah – Radzi
SUNGAI BULOH: Penggunaan pelitup muka di premis sekolah, sama ada di dalam atau di luar, tidak lagi diwajibkan, kata Menteri Pendidikan Kanan Datuk Dr Radzi Jidin.
Menerusi klip video di laman Facebook rasminya, beliau berkata, penggunaan pelitup muka bagaimanapun tetap digalakkan di sekolah terutama di tempat sesak.
“Selain itu, pelajar yang menaiki bas sekolah diingatkan supaya memakainya sepanjang masa. Paling penting kita harus memastikan persekitaran sekolah adalah selamat,” katanya.
Tambahnya, maklumat lanjut berhubung penggunaan pelitup muka di sekolah akan dimuatkan dalam satu kenyataan media yang akan dikeluarkan hari ini. Beliau berkata demikian susulan pengumuman Kementerian Kesihatan pada 7 Sept yang menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini terpulang kepada individu.